GENEVA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin cuba untuk meredakan ketegangan antara Washington-Moscow ketika sidang kemuncak pertama mereka di Geneva pada Rabu.
Kedua-dua pemimpin tersebut mengadakan perbincangan selama lebih tiga jam di bandar Switzerland itu termasuk pertemuan selama dua jam bersama Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
"Ia adalah pertemuan yang konstruktif,” kata Putin sambil menambah mereka turut sebulat suara untuk membenarkan duta masing-masing kembali berkhidmat di pejabat kedutaan di kedua-dua negara sebagai simbol memulihkan hubungan diplomatik.
Sementara itu, Biden memaklumkan pemimpin Kremlin tersebut enggan mencetuskan Perang Dingin baharu selepas permusuhan AS-Rusia sebelum ini telah membawa kepada Perang Dunia Kedua.
"Sesi perbincangan kami berlangsung dengan baik. Kami sememangnya kenal antara satu sama lain, namun bukan sahabat lama. Ini hanya atas urusan rasmi,” ujarnya yang turut memberikan sepasang kaca mata aviator dan patung kristal bison sebagai cenderahati kepada Putin.
Bagaimanapun, sesi sidang media selepas pertemuan itu agak tegang berikutan Biden dengan lantang memberi amaran kepada Kremlin berhubung ancaman serangan siber yang menyasarkan AS.
Putin pula menolak sekeras-kerasnya tuduhan jenayah siber dilemparkan Biden dan sebaliknya mendakwa sejumlah besar penggodaman di dunia sebenarnya didalangi Washington.
Sehari selepas ‘pertemuan positif’ itu, Kremlin dalam satu kenyataan menyambut baik komitmen kedua-dua Presiden itu untuk berdialog berhubung isu ‘kestabilan strategik’ dan kawalan senjata walaupun masih berlaku percanggahan pendapat tentang beberapa perkara.
Difahamkan, hubungan diplomatik antara Moscow dan Washington semakin meruncing sejak Biden menyamakan Putin dengan ‘pembunuh’ serta turut menggelarnya sebagai ‘musuh’ menjelang sidang kemuncak itu. - AFP