SETIAP hari ada sahaja kes kematian dilaporkan akibat Covid-19, malah paling ramai menjadi korban wabak berkenaan pernah direkodkan pada 2 Jun 2021 iaitu seramai 126 orang.
Kehilangan orang tersayang sudah tentu memberi kesan mendalam kepada sesiapa sahaja. Tidak terkecuali rakan Merak Jalanan yang menerima khabar duka kehilangan suami tercinta akibat Covid-19 minggu lalu.
"Aku belum bersedia sebenarnya menjadi ibu tunggal. Tak pernah terlintas langsung suami yang sihat, yang tak ada penyakit serius, yang sentiasa berhati-hati dengan menjaga SOP (prosedur operasi standard) menjadi korban Covid-19,” kata rakan Merak Jalanan yang sebak berkongsi kisah kehilangan suami tercinta, namun reda dan tenang menerima ketentuan Ilahi.
Kongsinya lagi, lebih memeritkan apabila menerima khabar tersebut ketika dia sedang menjalani kuarantin bersama dua anak perempuannya di rumah.
Dia tidak mampu berbuat apa-apa tatkala suaminya dilaporkan semakin tenat. Dia tidak boleh melawat, apatah lagi menemani suami, malah tidak dapat menguruskan jenazah insan tersayang. Dia sayu kerana hanya berpeluang melihat detik terakhir perjalanan suaminya melalui sidang video yang dibantu oleh petugas kesihatan.
Akibat kealpaan pihak lain yang memandang remeh soal SOP, rakan Merak Jalanan, suami dan anak-anaknya menjadi kontak rapat, seterusnya berlanjutan sehingga suaminya ke ICU dan pengakhirannya, dia kehilangan tempat bergantung.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Semoga rakan Merak Jalanan dan juga ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19 diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Covid-19 tidak mengenal mangsa. Tua, muda, miskin, kaya, sihat atau berpenyakit. Tiada sesiapa pun yang kebal. Walaupun kita patuh SOP tetapi belum tentu selamat jika orang lain tidak peduli SOP.