SHAH ALAM - Isu mengenai bila tarikh pembukaan Parlimen telah mencetuskan polemik, kontroversi dan perdebatan hangat dalam kalangan banyak pihak.
Pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mendesak supaya persidangan Parlimen diadakan segera sebelum berakhirnya tempoh pelaksanaan darurat pada 1 Ogos depan.
Bagaimanapun pada masa sama, pihak yang mendokong kerajaan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berpandangan September atau Oktober adalah masa paling cepat Parlimen boleh dibuka.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menyatakan tarikh agar Parlimen dibuka tetapi secara tersirat kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya komited untuk mengadakan persidangan.
"Mereka seharusnya tidak dilihat berdolak-dalik. Kesegeraan kepentingan ini harus dilihat dari segi pertamanya ialah semua ahli Parlimen sudah menerima suntikan vaksin Covid-19. Saya percaya pegawai atau kakitangan di Parlimen juga sudah menerima suntikan.
"Dengan sendirinya mereka merupakan golongan yang selamat kerana sudah mencapai imuniti kelompok. Tidak ada alasan kata mereka tidak selamat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, perkara kedua pula ialah negara ini berhadapan keadaan genting dan perlunya persidangan bagi memastikan demokrasi itu tidak mati.
"Selain ia memungkinkan semua pihak iaitu pembangkang dan kerajaan untuk memberikan idea terbaik, konkrit serta pragmatik bagi menangani masalah kesihatan dan masalah ekonomi yang kita hadapi,” katanya.
Jeniri berkata, rakyat mahukan kerajaan yang ada sekarang bersungguh-sungguh untuk menangani masalah mereka.
"Pentas terbaik adalah Parlimen. Parlimen itu mewakili suara rakyat melalui mandat yang telah diberikan melalui wakil rakyat mereka iaitu ahli Parlimen,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu akur keputusan Yang di-Pertuan Agong yang disokong oleh Raja-raja Melayu.
"Maka tidak perlu berdolak-dalik dengan pelbagai alasan seperti dibuat pada awal Februari lalu apabila kerajaan tidak mengendahkan nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Ketegasan
Awang Azman turut melihat keputusan agar Parlimen dibuka serta-merta menunjukkan ketegasan Yang di-Pertuan Agong dan institusi istana dalam isu asas memastikan amalan sistem demokrasi berlaku walaupun sedang darurat.
"Ini kali kedua pendirian ini dikemukakan kepada kerajaan PN. Bermakna betapa prihatin Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja Melayu selepas nasihat pertama agar Parlimen dibuka tidak diendahkan oleh kerajaan PN,” ujarnya.
Mengulas mengenai tarikh sebaiknya Parlimen dibuka, Awang Azman berpendapat, ia sepatutnya dibuka dalam tempoh dua minggu ini atau lebih awal.
"Ini kerana pengisytiharan darurat dan sebagainya itu sendiri perlu disahkan dalam Parlimen sebelum ia berakhir.
"Hal ini juga kerana Raja-raja Melayu menyatakan tidak ada keperluan untuk menyambung darurat apabila tamat 1 Ogos ini,” kata beliau.
Seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali pula berpendapat ketidakberkesanan polisi untuk mengawal pandemik Covid-19 mendorong Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menitahkan agar Parlimen dibuka segera.
"Sebabnya ialah sewaktu darurat dalam tempoh lima bulan, Ordinan Darurat yang diluluskan itu tidak dibahas di Parlimen. Maka, bila ia tidak dibahas di Parlimen, timbullah kelemahan-kelemahannya."Sebab itu, kita tengok sebelum ini banyak isu-isu berkait dengan Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan. Misalnya berkait dengan denda atau kompaun sampai ada yang kena RM50,000.
"Bila perkara itu tidak diperincikan di Parlimen, atas sebab itu Yang di-Pertuan Agong menitahkan Parlimen dibuka untuk bersidang dan dibahaskan setiap akta dan Ordinan Darurat yang diluluskan,” katanya.
Mazlan turut melihat titah itu juga menunjukkan hasrat istana supaya ahli politik fokus kepada usaha menangani Covid-19 yang merosakkan ekonomi.
"Atas sebab itu, saya lihat Yang di-Pertuan Agong mahu supaya ahli politik dapat bekerjasama. Disebabkan itu Yang di-Pertuan Agong membuka perbincangan serta memanggil ketua-ketua parti politik.
"Itu sebenarnya isyarat supaya ahli-ahli politik ini dapat memberikan kerjasama dan idea,” jelasnya.
Mazlan dalam masa sama turut sependapat dengan Awang Azman agar Parlimen dibuka dalam seminggu atau dua minggu ini.
"Kalau ada sesetengah pandangan mengatakan mungkin boleh dibuat September akan datang, itu lama sangat. Ini bulan Jun.
"Kalau tiga bulan dari sekarang, Covid-19 ini tidak boleh diatasi. Kes sekarang ini tinggi dan kita bimbang kesihatan negara kita takut terkandas disebabkan kes terlalu banyak,” kata beliau.
Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian melihat titah Yang di-Pertuan Agong itu untuk membolehkan perbincangan berteraskan kepentingan negara dapat dilakukan.
"Titah Agong menekankan kestabilan dan memerlukan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelbagai pihak dan yang penting juga jelas darurat tidak akan dilanjutkan selepas Ogos,” katanya.
Menurutnya, titah Agong juga tidak menunggu sehingga September sebagaimana yang dicadangkan sebelum ini.
"Walaupun mungkin Perdana Menteri ada sebab-sebab tertentu sehingga mahu membawa ke September tetapi merujuk kepada titah itu, saya merasakan ia harus dilihat bahawa Yang di-Pertuan Agong mahu ia lebih awal,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh Suruhanjaya Kedaulatan Negara: Pak Wan
ARTIKEL BERKAITAN: Agong, PM perlu runding tarikh buka Parlimen
ARTIKEL BERKAITAN:PM boleh ubah tarikh persidangan