Mesir-Malaysia bincang kerjasama dua hala: PM

Iklan
Muhyiddin dan Abdel Fattah

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sudah tiba masanya Malaysia menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala dengan negara Mesir terutama dalam konteks politik dan ekonomi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada perbincangan bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi pada Khamis, beliau menyambut baik cadangan itu dengan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan dengan segera.

Iklan
Iklan

Tambah beliau, perbincangan tersebut menyentuh berkenaan isu kepentingan bersama khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

"Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion.

Iklan

"Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan ini untuk menggalakkan pihak Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia, malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Abdel Fattah menyambut baik cadangan supaya kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation bagi meningkatkan kerjasama perdagangan pada masa hadapan.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, perbincangan itu turut menyentuh isu-isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin.

"Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

"Saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

"Alhamdulillah, presiden menyatakan kesediaan kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” ujarnya.

Perbualan tersebut berakhir dengan undangan dan lawatan rasmi ke negara masing-masing selepas pandemik Covid-19 berakhir.