Cubaan seludup daging, limpa lembu bernilai RM57,680

Iklan
588 paket barangan sejuk beku yang dirampas di Taman Permai Gual Tinggi di Rantau Panjang pada Khamis.

TUMPAT – Dua lelaki ditahan ketika sedang memunggah limpa lembu dan daging beku yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran di sekitar kawasan Pengkalan Haram Nibong, Pengkalan Kubor, di sini pada Khamis.

Dalam serbuan jam 4.40 petang itu, dua kotak limpa lembu bernilai RM1,280 dan 103 kotak daging beku bernilai RM57,680 dirampas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, dua lelaki berusia 44 dan 55 tahun itu masing-masing dari Kampung Jejulok Simpangan dan Kampung Paloh Palekbang, Tumpat ditahan untuk siasatan lanjut.

"Ketika serbuan tersebut, anggota kami sedang membuat rondaan bermotosikal di sekitar kawasan Pengkalan Haram Nibong dan mendapati dua lelaki sedang mengangkat kotak dari sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu telah menjumpai beberapa kotak yang mengandungi barang berkenaan dan disyaki untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, seorang pemuda berusia 23 tahun ditahan di Taman Permai Gual Tinggi di Rantau Panjang bersama 588 paket barangan sejuk beku bernilai RM10,962 pada jam 5.30 petang, hari yang sama.

Iklan

Azhari berkata, anggotanya menemui sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati dokumen pembelian yang dikemukakan oleh pemandu adalah meragukan.

"Pihak kami juga menjumpai pelbagai barangan sejuk beku di belakang lori. Kesemua barang kes yang dirampas dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) 2011.