KUANTAN - Kenyataan salah seorang pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyifatkan tindakan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mendesak sidang Parlimen dibuka segera sebagai sikap 'binatang politik' adalah perbuatan biadab dan angkuh.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Mohd Mustaqim Abdul Jalil berkata, kenyataan itu dilihat seolah-olah mencabar keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta sidang Dewan Rakyat disegerakan.
Menurutnya, tindakan ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu itu menunjukkan ketakutan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa mereka.
"Beliau dilihat sebagai bodoh sombong dan kurang ajar kerana kenyataan penuh dikeluarkan Majlis Raja Raja adalah jelas, meminta sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
"Jika kenyataan itu dikeluarkan Majlis Raja-Raja, maka ia adalah titah rasmi dan perlu diperkenankan mereka (kerajaan PN), bukannya tampil dengan pelbagai alasan. Jadi sekarang, apa masalah sampai susah sangat nak buka Parlimen.Tidak perlu tunggu sampai September," katanya dalam kenyataan pada Khamis malam.
Dalam pada itu, Mohd Mustaqim yakin bahawa semua pihak sudah bersedia untuk memastikan kelancaran sidang Parlimen jika dibenarkan dibuka.
Katanya, sebelum ini perjalanan sidang Parlimen berlangsung dengan sempurna dan dapat dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Tidak ada masalah berlaku. Jadi, kenapa sekarang tidak boleh (buka sidang Parlimen).
"Adakah ini menunjukkan bahawa mereka (kerajaan PN) dalam dilema dan sebenarnya dalam keadaan sangat lemah hingga tidak berupaya berdepan realiti bahawa mereka sudah gagal menguruskan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu," katanya.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan PN yang tidak mampu melaksanakan sidang Parlimen secara maya sedangkan ribuan mesyuarat berjaya dilakukan melalui cara itu setiap bulan tanpa sebarang isu atau masalah.
"Adakah capaian internet di Malaysia begitu teruk hingga tidak mampu mengadakan sidang (Parlimen) secara dalam talian.
"Kami akan terus mendesak sidang Parlimen dapat dilaksanakan seawal bulan depan supaya pelbagai isu berbangkit selama ini dapat dijelaskan oleh pihak kerajaan kerana rakyat berhak untuk tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku di negara ini," katanya.