SHAH ALAM - Pas menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan mengadakan sidang Parlimen pada kadar segera.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu yakin titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.
Menurutnya, Pas juga menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong berhubung usaha mempercepatkan pemberian vaksin serta pentingnya memiliki kerajaan yang stabil dan kukuh bagi menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
"Pas yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari sebagai usaha mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini.
"Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Pas melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, Pas menyanjung tinggi titah pandangan Yang di-Pertuan Agong yang menekankan supaya semua pihak mengurangkan politiking bagi membolehkan usaha dijalankan ketika negara berdepan wabak ini selain menjaga kebajikan rakyat yang terkesan.
"Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan seluruh Duli-Duli Raja-Raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak Covid-19," katanya.
Pada 16 Jun lalu, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.