TAIPING - Tawaran melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA) yang diterima seorang anak muda Malaysia merupakan sesuatu yang amat membanggakan negara.
Tawaran itu turut membanggakan ibu bapa Pegawai Kadet berusia 20 tahun itu, Mohamad Khairel Adha Mohd Khairee.
Berkongsi rasa terharu, bapanya, Mohd Khairee Baha, 61, berkata, dia tidak menyangka anaknya mendapat tawaran tersebut dan bersetuju untuk pergi ke Amerika Syarikat (AS).
Jelas peniaga itu, dia juga terkejut anaknya menerima tawaran berkenaan kerana tiada ahli keluarga yang menceburi bidang ketenteraan.
"Memang saya tahu Khairel minat jadi tentera sejak di bangku sekolah lagi tetapi tidak sangka pula dia boleh pergi sejauh itu.
"Disebabkan dia memang minat dan semangat untuk pergi, kami sekeluarga izinkan demi negara dan masa depan dia," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Taman Assamara, di sini, pada Khamis.
Mohd Khairee berkata, berita mengenai tawaran yang diterima oleh anaknya itu turut mendapat perhatian rakan-rakan dan jiran.
Mereka sekeluarga turut mendapat sokongan daripada Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie yang memberikan sumbangan kewangan serta sijil penghargaan atas kejayaan berkenaan.
Sementara itu, ibu Mohamad Khairel Adha, Rini Sukja Amir, 53, mengakui bimbang walaupun gembira anaknya dapat menyambung pengajian di akademi terkenal itu.
Bagaimanapun katanya dia tidak mahu menghalang minat dan kerjaya anaknya untuk mencapai cita-cita.
"Pelbagai perasaan bercampur baur, Saya bangga tetapi pada masa sama bimbang kerana empat tahun berada seorang diri di negara orang.
"Tapi saya yakin dia boleh jaga diri dengan baik dan saya pesan supaya cari kawan yang baik-baik, sentiasa ingat keluarga. Doa kami sentiasa bersamanya," katanya.
Menurutnya, selepas menghantar Mohamad Khairel ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu, mereka sekeluarga terus berhubung menerusi panggilan video dan aplikasi WhatsApp untuk mengetahui perkembangannya di AS.
Jelas Rini Sukja, walaupun tidak pernah sampai ke AS, anaknya itu fasih berbahasa Jepun dan pernah mengikuti program pertukaran pelajar selama 12 hari ke negara matahari terbit itu sebelum ini.
Dalam pada itu, Ahmad Shalimin yang dihubungi berharap Mohamad Khairel dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan anak jati Taiping itu pulang ke tanah air menyumbang tenaga untuk negara.
Mohamad Khairel merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam jurusan Asasi Pengurusan dan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pertahanan dan Keselamatan.
Berita mengenai kejayaan Mohamad Khairel itu sebelum ini diumumkan secara rasmi oleh Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menerusi laman Facebooknya pada 2 Jun lalu.
Selain Mohamad Khairel, Nicholas Ong Yong Xen turut terpilih bagi menyertai Akademi Tentera Laut AS.
Kedua-dua mereka dipilih daripada calon seluruh dunia yang bersaing untuk mendapatkan tempat dalam akademi berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua kadet Malaysia terpilih ke Akademi Tentera AS