TUNIS - Tunisia pada Khamis melancarkan siasatan terhadap cubaan membunuh Presiden Kais Saied, lapor Agensi Anadolu (AA).
Menteri Kehakiman, Hasna Ben Slimane memberitahu radio tempatan Mosaique, beliau membenarkan pendakwaraya mahkamah rayuan menyiasat perkara itu, tetapi tidak memperincikannya.
Pada Selasa, Saied mengatakan dalam pertemuan dengan bekas perdana menteri Tunisia,"mereka yang ingin berdialog tidak akan pergi ke luar negara secara rahsia untuk menjatuhkan presiden dengan apa cara pun, walaupun dengan pembunuhan."
Namun beliau tidak menyebut mana-mana kumpulan atau individu yang disyaki bagi mengelakkan ketegangan dalam negara.
Januari lalu, Istana Carthage presiden menerima sampul surat yang mencurigakan dan dikhuatiri sebagai satu cubaan pembunuhan, tetapi siasatan mendapati tidak ada serbuk beracun di dalam sampul surat itu.
Tunisia telah dilanda krisis yang mendalam sejak 16 Januari lepas apabila Perdana Menteri Hichem Mechichi mengumumkan rombakan Kabinet, tetapi Saied pula tidak mahu mengadakan upacara mengangkat sumpah menteri-menteri baharu.
Negara itu, dilanda kemerosotan ekonomi yang teruk berikutan pandemik Covid-19, selain menyaksikan tunjuk perasaan di beberapa wilayah. - Bernama