PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperhebat operasi bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis dan kilang-kilang yang beroperasi ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu bagi memastikan semua premis mematuhi SOP yang ditetapkan untuk membendung penularan Covid-19 melibatkan kluster perkilangan.
"Kita tegas kerana apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan bahawa kluster kilang adalah yang tertinggi dilaporkan.
"Maka, kita buat keputusan untuk kerja lebih kuat bagi memastikan kluster kilang ini dapat diturunkan," katanya.
Menurutnya, sebanyak 48,770 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara bermula 14 Jun melibatkan 7,387 kilang serta 41,383 premis perniagaan.
Beliau berkata, sebanyak 21 tangkapan telah dibuat melibatkan pelbagai kesalahan dan pelanggaran SOP.
"Terdapat 201 kompaun telah dikeluarkan membabitkan operasi kilang atau premis perniagaan yang didapati melanggar SOP selain 63 telah diarahkan tutup," katanya.
Hamzah berkata, KDN memandang serius tindakan majikan atau pemilik kilang yang memberikan maklumat tidak benar untuk memperolehi kebenaran beroperasi dalam tempoh SPP.
"Tindakan ini adalah cubaan untuk mengelirukan, jadi tindakan di bawah Akta 342 akan diambil," katanya.
Pada perkembangan sama, beliau berkata, seramai 150,934 atau 91 peratus petugas barisan hadapan agensi KDN telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
"Sementara 133,781 atau 80 peratus barisan hadapan telah melengkapkan suntikan dos kedua," katanya.