PASIR MAS - Seorang pemuda berusia 34 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung rampasan sepucuk pistol angin dan lima butir peluru di sebuah rumah dekat Kampung Pauh, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam serbuan pada jam 9.30 malam itu pihaknya turut menahan kedua-dua ibu bapa pemuda berkenaan bagi membantu siasatan berhubung rampasan senjata api itu.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah melakukan pemeriksaan di dalam dan di sekitar kawasan rumah suspek," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya, semasa melakukan pemeriksaan di bahagian belakang rumah, salah seorang anggota polis telah ternampak sebuah pasu berwarna putih mutiara yang bertutup dengan plastik kuning.
Beliau berkata, sambil disaksikan suspek anggota polis telah mengalihkan plastik kuning tersebut dan menemui sehelai kain putih dan di bawahnya ada sepucuk senjata api jenis Revolver.
Mohd Nasaruddin berkata, senjata api berwarna perak dengan pemegang hitam telah disembunyikan dalam pasu tersebut.
Katanya, semakan mendapati pemuda itu mempunyai 17 rekod jenayah lampau.
"Kita turut merampas dua kereta milik suspek jenis Suzuki Swift dan Volkswagen Golf untuk siasatan lanjut.
"Hasil soal siasatan awal mendapati suspek menafikan pistol angin serta peluru tersebut miliknya. Suspek turut memberitahu dia tidak mengetahui sejata api itu berada di dalam pasu berkenaan," katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan sebaik sahaja perintah tahanan reman ke atas suspek diperolehi dan kes disiasat bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.