KANGAR - Kerajaan Perlis menyasarkan 2,600 orang di negeri itu menerima vaksin Covid-19 setiap hari bagi mencapai matlamat 80 peratus penduduk negara divaksinasi menjelang hujung tahun ini.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof, sasaran itu dapat dicapai berikutan Perlis mempunyai sembilan pusat pemberian vaksin (PPV), iaitu tiga PPV fasiliti awam, satu PPV khas di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), empat klinik swasta dan satu pasukan vaksinasi bergerak.
Iklan
Iklan
"Hingga semalam, seramai 50,879 orang atau 28.08 peratus daripada 250,000 penduduk Perlis telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Berhubung pendaftaran untuk menerima vaksin pula, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, berkata seramai 111,691 orang atau 61.64 peratus penduduk Perlis telah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera setakat ini.
"Kita harap jumlah pendaftaran ini akan terus meningkat dan mencapai sasaran 200,000 menjelang Disember ini,” katanya, menambah kerajaan negeri bercadang menambah bilangan PPV dalam masa terdekat bagi mempercepat pemvaksinan. - Bernama
Artikel Berkaitan