KOTA KINABALU - Pembukaan persidangan Parlimen secepat mungkin seperti dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membolehkan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan demi kepentingan rakyat.
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam kenyataan berasingan hari ini selain menjunjung kasih titah Seri Paduka agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, dan kedua-dua parti itu juga sependapat bahawa darurat tidak perlu diteruskan selepas 1 Ogos.
Justeru Timbalan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berharap, agar semua wakil rakyat dan ahli Dewan Negara menggunakan sepenuhnya peluang perbahasan untuk menangani COVID-19 dan bukan untuk agenda politik yang boleh mengheret negara ke dalam krisis.
"Keputusan ini membuktikan Seri Paduka mengutamakan Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan selari dengan hasrat memelihara peranan legislative oversight semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dan Negara.
"PBRS mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka akan keperluan untuk memastikan kestabilan politik supaya Kerajaan dapat berfungsi dengan lebih berkesan dalam menangani COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, Warisan dalam kenyataan memberitahu, titah Seri Paduka itu sangat bertepatan dengan usaha setiap wakil rakyat semua parti dalam usaha dan ikhtiar membantu rakyat yang saban hari dihimpit kepayahan kesan dari pandemik COVID-19.
Menurut kenyataan itu, perbahasan Pelan Pemulihan Negara dan ordinan-ordinan darurat penting supaya semua rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 itu terbela.
"Wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mempunyai tanggungjawab dan amanah besar bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan mereka dibela dan diambil peduli," kata kenyataan itu. -Bernama