Istana lama, makam terbiar

Iklan
Istana Sepachendera

ALOR SETAR - Kedah memiliki banyak peninggalan sejarah memandangkan Kerajaan Kedah Tua antara kerajaan awal yang wujud sejak kurun kedua sebelum Masihi.

Kedudukannya sebagai pelabuhan entrepot sehingga kurun ke-14 Masihi dikenali dunia.

Iklan
Iklan

Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan utama sebelum dipindahkan ke Lembah Bujang.

Kedah Tua dipengaruhi agama Buddha dan seterusnya agama Hindu, tidak hairanlah pengaruh Hindu-Buddha dapat dilihat sebagai peninggalan sejarah, antaranya candi di Lembah Bujang.

Iklan

Gunung Jerai pula berdiri megah sebagai panduan kepada pedagang luar untuk singgah di pelabuhan Lembah Bujang yang menjadi tempat penukaran barang, persinggahan dan membaiki kapal pedagang Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum meneruskan perjalanan ke Timur.

Walaupun ia kerajaan samudera, turut dikenali pengeluar padi kerana dikurniakan tanah pamah yang rata dan luas.

Iklan

Kerajaan Kedah Tua mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Sultan al-Mutawakil (847-861), melalui penemuan wang perak, selain manik yang dibawa dari India serta barangan kaca dari Timur Tengah.

Kemasyhuran Lembah Bujang sebagai pusat dagangan didatangi pelbagai bangsa, budaya dan agama dari pelusuk dunia.

Tidak hairanlah sebahagian besar struktur bangunan, tapak candi serta artifak seperti seramik, manik, celedon menjurus kepada pengaruh Hindu-Buddha.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof, sebuah buku lama ditulis pengarang Istana Kedah, Muhammad Hassan Datuk Kerani Muhammad Arshad (1928) bertajuk Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, menyatakan Islam secara rasminya diterima di Kedah pada 1136 Masehi atau 531 Hijrah, iaitu 300 tahun lebih awal berbanding Melaka.

Kubur lama dipercayai Makam Sultan Kedah ke 16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II tersembunyi di sebalik rimbunan pokok buluh di tepi sungai di Kampung Bukit Pinang, ketika penemuan pada Mei 2017.

Buku itu menyatakan, nama raja terakhir beragama Hindu yang memeluk Islam adalah Maharaja Derbaraja II dengan nama Islamnya, Sultan Mudzaffar Shah yang diIslamkan seorang pendakwah dari Yaman bernama Syeikh Abdullah.

Dinyatakan juga, Islam bermula di Kota Bukit Meriam di Kuala Muda sebelum diperluas ke Alor Star, dengan Sultan ke-28 bawah lapan pusat pemerintahan.

Terdapat bukti menunjukkan Islam bertapak di Kedah tetapi tidak berkembang secara menyeluruh, dengan penemuan batu bersurat di Bukit Tupah, Merbok tercatat nama Ibni Sirdhan bertarikh 828 Masihi bersamaan 214 Hijrah.

Ibni Sidhan kemungkinan seorang pendakwah dari Timur Tengah yang memperkenalkan dan mengembangkan Islam di Kedah.

Bukti lain termasuk nisan di perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran Pekan Langgar bertarikh 3 Rabiulawal 291 Hijrah/904 Masehi yang tersembunyi dalam sebuah busut besar dengan terukir nama Syeikh Abdul Kadir.

Menurut pengkaji sejarah, Syeikh Abdul Kadir merupakan pendakwah Islam dari Timur Tengah yang mengembangkan Islam di daerah itu.

Rentetan sejarah Kedah menunjukkan begitu banyak penemuan dan peninggalan lama yang dipengaruhi elemen Hindu-Buddha dan Islam. Khazanah ini sebahagiannya masih kukuh namun terdapat juga yang usang dan hampir menyembah bumi.

Kedah sememangnya kaya dengan peninggalan warisan sejarah yang tidak ternilai harganya antaranya, Kota Kuala Kedah, Kota Siputeh, Istana Raja Bersiong, Istana Sepachendera, Gua Komunis, Gua Kerbau, serta Terusan Wan Muhammad Saman.

Keunikan warisan Kedah ini wajar dipulihara dan dibangunkan semula untuk tatapan generasi akan datang agar anak muda Kedah mengenali asal usul dan sejarah negeri.