LAPAN atlet olahraga negara kini berada dalam keadaan baik serta bersedia menghadapi cabaran di Kejohanan Qosanov Memorial dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.
Pengurus pasukan, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, skuad olahraga diketuai atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei telah melakukan latihan pemanas badan sejak Khamis dan bersemangat tinggi untuk memberikan keputusan terbaik di Almaty, Kazakhstan.
Hup Wei menjadi sandaran utama untuk memburu tiket ke Olimpik berdasarkan kedudukan beliau dalam ranking olahraga dunia.
"Kita harapkan Hup Wei akan mempamerkan prestasi terbaik untuk mengesahkan tiket ke Olimpik.
"Pesaing utama adalah dirinya sendiri, Hup Wei perlu membuktikan yang dia mampu menghadapi cabaran. Kami juga menyasarkan keputusan podium daripada Rayzam Shah Wan Sofian (110m berpagar lelaki) dan keputusan memuaskan daripada Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Hup Wei, juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali, adalah atlet terbaik Malaysia dalam ranking Atlet Olahraga Dunia dikemaskini pada 15 Jun, sekaligus diletakkan harapan untuk mewakili negara di Tokyo.
Hup Wei pernah menyertai Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, berkedudukan ke-20 dengan 1,235 mata manakala Nauraj Singh Randhawa yang memenangi pingat emas di Kejohanan Tatabanya Siri Grand Prix (GP) baru-baru ini berada di ranking ke-46 dengan 1,176 mata.
Sementara itu, Wan Hisham berkata, pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh Andre Anura Anuar masih belum berada pada tahap terbaik selepas baru sahaja pulih dari kecederaan tumit.
Atlet lain yang turut menyertai kejohanan berkenaan adalah Connie Chu (lempar cakera), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Jonathan Nyepa (100m) dan Muhammad Ilham Suhaimi (400m).
Dua jaguh pecut, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan yang muncul juara acara 100m lelaki Sukan SEA 2019 dan 2017, tidak dapat menyertai kejohanan selepas Muhammad Haiqal didapati positif Covid-19, manakala Khairul Hafiz menjadi kontak rapatnya.