JIKA kerajaan negeri boleh melakukannya di Sungai Ichat, Cameron Highlands berkaitan usaha memulihara alam sekitar yang terkesan teruk sebelumnya akibat kerja-kerja perkebunan, maka yang sama pasti dapat dilakukan di Tasik Chini, Pekan.
Keyakinan ini bersandarkan hakikat ketegasan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri, disusuli tindakan sama tegas dan konsisten oleh agensi-agensi penguatkuasaan negeri mahupun Persekutuan, seterusnya pelaksanaan pelan-pelan pemuliharaannya.
Apa yang tidak dihadapi di Sungai Ichat? Bukan sahaja bantahan keras secara fizikal daripada sebahagian pekebun hingga memerlukan pasukan keselamatan menyurai dan meredakan keadaan.
Mereka juga menyaman kerajaan negeri akhirnya mereka juga menariknya kembali.
Setelah lebih enam bulan tertangguh kerana mematuhi injunksi mahkamah, kerja-kerja penguatkuasaan dan kerja-kerja pemuliharaan termasuk penanaman pokok-pokok tertentu dilaksanakan semula.
Maka, pulihlah kembali tidak sampai satu setengah tahun – sejak Februari 2019 hingga September 2020 dengan mutu air Sungai Ichat kembali ke kelas 1 daripada kelas 4 yang tercemar teruk sebelumnya.
Pentingnya Sungai Ichat ialah ia merupakan satu daripada dua sungai dalam kawasan tadahan air Terla, menjadi penyumbang air utama untuk dirawat bagi memenuhi keperluan air bersih 70 peratus penduduk Cameron Highlands.
Sepertimana Sungai Ichat menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong pada 7 September 2019 dan sokongan Seri Paduka atas ketegasan serta kerja-kerja penguatkuasaan dan pemuliharaan yang kerajaan negeri ambil, begitu juga di Tasik Chini apabila anakanda Seri Paduka, Pemangku Raja Pahang membuat kunjungan mengejut pada 13 Jun lalu, kemudian membuat kenyataan hampir sama nadanya.
Sesungguhnya, soal menangani isu alam sekitar di Tasik Chini yang sedang kerajaan negeri kendalikan sekarang adalah hampir sama waktunya dengan pengendalian isu di Sungai Ichat.
Pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 13 Mac 2019 yang samalah apabila kerajaan negeri meluluskan untuk pewartaan 4,498 hektar sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) Chini serta 121.12 hektar sebagai HSK Sungai Ichat.
Bagi Tasik Chini yang lebih luas, mesyuarat sama menetapkan Dasar Khas berkaitan perlombongan bahawa tidak akan ada lagi pengeluaran baharu Pajakan Melombong (ML), khususnya bagi bijih besi di situ.
Tegas
Dan inilah yang dipatuhi sepenuh dan secara tegasnya sehingga ke hari ini. Ia bukan sekadar ‘lip service’ seperti mana dakwaan sesetengah pihak.
Sungguhpun terdapat 14 kawasan diberi ML sejak sebelum 2019 lagi, hanya dua yang mempunyai surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) untuk beroperasi itupun yang satu akan tamat hujung Jun dan satu lagi pada hujung tahun ini.
Dengan ML sahaja – dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, tidak membolehkan pemegangnya melakukan operasi perlombongan melainkan setelah memperoleh OMS keluaran Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Untuk memperoleh OMS pula bukanlah mudah. Pemohon perlu menyediakan pelbagai dokumen termasuk laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang sangat stringent, yang dinilai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Dalam pada itu pun, kerajaan negeri tidak berkrompomi atas kegagalan pematuhan sebagaimana syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemegang pajakan/operator melalui penilaian dan ulasan oleh lapan agensi teknikal Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.
Kelapan-lapannya ialah JMG, JAS, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Badan Kawal Selia Air (BAKSA), Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Mengenai keluasan 4,498 hektar yang diwartakan sebagai HSK Chini, sungguhpun ia luas – bersamaan 6,000 padang bola sepak, namun belum memadai sepertimana titah saranan Pemangku Raja Pahang, antara lain menitahkan meluaskannya antara 6,000 dan 7,000 hektar.
Susulan itu, Wan Rosdy mengarahkan jabatan-jabatan berkenaan seperti PTG negeri dan JPNP supaya mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan, seterusnya menguruskan soal pewartaan-nya.
Peluasan itu menurut Wan Rosdy, wajar kerana ia dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjaga dan memelihara/memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja adalah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.
Peluasan itu juga tentunya wajar yang dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Program tersebut diselaraskan oleh Pusat Pemuliharaan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kerajaan negeri memperuntukkan tanah 8.1 hektar sejak 2004 lagi, yang dijadikan makmal alaminya (living laboratory).
Rizab
Sepertimana semua sedia maklum, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO’ telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia.
Ia (TCRB) berlandaskan tiga teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesies/hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat.
Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama itu, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang berbeza.
Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar atau bersamaan lebih 9,000 padang bola sepak, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga sedang berusaha melaksanakan kerja-kerja penanaman semula sepertimana kerja-kerja penanaman semula hutan setakat ini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM250,000 untuknya. Lagi RM10 juta akan turut diperuntukkan bagi menjayakannya.
Selain itu, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasa termasuk pemantauan menggunakan teknologi Light Detection Radar (LIDAR) dan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.
Dengan segala usaha tegas, serius dan berterusan kerajaan negeri untuk memulihkan kembali Tasik Chini dan sekitarnya yang berkeluasan ribuan hektar berbanding Sungai Ichat, hanya masa akan menentukan Tasik Chini akan benar-benar pulih kembali.
Sesungguhnya, soal menangani isu alam sekitar di Tasik Chini yang sedang kerajaan negeri kendalikan sekarang adalah hampir sama waktunya dengan pengendalian isu di Sungai Ichat.
* Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang