SHAH ALAM - Keputusan kerajaan memberi vaksin kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 adalah langkah tepat supaya mereka berasa yakin dan selamat untuk meneruskan pembelajaran di sekolah.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, usaha tersebut menjamin keselamatan pelajar dalam melakukan persediaan sebelum menduduki peperiksaan.
Menurutnya, sejajar dengan pemberian vaksin ini juga sekali gus dapat mengelakkan isu keciciran pelajar dalam pembelajaran terutama golongan kurang berkemampuan menyediakan kemudahan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
"Ini merupakan satu berita baik kepada pelajar SPM dan STPM tahun ini. Sekolah dapat dibuka awal dan menjadikan pelajar SPM atau STPM lebih bersedia menghadapi peperiksaan.
"Kita faham PdPR banyak memberi kesan dari segi motivasi dan keletihan serta kekangan internet,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM, STPM dijangka terima vaksin pada Julai
Mengulas lanjut, Mohd Azizie mencadangkan agar suntikan vaksin dapat diutamakan di kawasan berisiko tinggi khususnya zon merah dan diperluas ke seluruh negara pada kadar segera.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan pula berpendapat, guru-guru juga seharusnya diberi keutamaan dalam pemberian vaksin supaya mereka berasa yakin dan selamat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mungkin boleh mewujudkan pusat pemberian vaksin bergerak ke sekolah-sekolah di seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN: CITF setuju beri vaksin kepada murid kelas peperiksaan