BEREGU badminton campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yakin dapat membentuk semula keserasian ampuh di gelanggang bagi mengharungi Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan depan.
Kedua-dua pemain itu optimis keserasian berkenaan dapat dibentuk semula menerusi sesi latihan yang dijalani di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara ketika ini.
Menurut Peng Soon, setakat ini sesi latihan berjalan lancar dengan fokus utama mereka adalah untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum turun beraksi di pentas Olimpik nanti.
"Saya boleh katakan ini adalah fasa akhir untuk kami memperbaiki setiap kelemahan. Bagi saya, mana-mana pemain beregu akan mengalami masalah yang sama setelah lama tidak beraksi di gelanggang bersama-sama.
"Jadi saya meletakkan fokus sepenuhnya pada sesi latihan kali ini dan saya percaya keserasian bersama Liu Ying akan dapat dibentuk lebih baik menjelang Sukan Olimpik Tokyo nanti.
"Saya harap dapat tempoh beberapa minggu sebelum Olimpik, kami mendapat apa yang kami mahukan. Paling penting, keserasian kerana aspek itu menjadi kekuatan kami di tengah gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar.
Kali terakhir Peng Soon-Liu Ying beraksi di pentas kompetitif adalah dalam saingan separuh akhir Seluruh England di Birmingham pada Mac lalu.
Dalam pada itu Liu Ying menyifatkan keserasiannya bersama Peng Soon masih utuh biarpun sudah tiga bulan tidak beraksi di pentas kompetitif berikutan tiada kejohanan dapat disertai akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Liu Ying memberitahu, mereka masih perlu berusaha untuk meningkatkan prestasi masing-masing sehingga ke tahap optimum sebelum berkunjung ke Tokyo.
"Memang dalam latihan sekarang kami sedang melakukannya (bentuk keserasian). Tetapi bagi saya, ia lebih bagus kalau ada kejohanan ketika ini. Dalam kejohanan, kami akan dapat feeling sebelum beraksi di Tokyo nanti,” jelasnya.