KANGAR - Perlis membenarkan pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai depan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan penyembelihan haiwan korban hanya boleh dilakukan di pusat sembelihan.
Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semua masjid hanya dibenarkan mengelola ibadah korban manakala pelaksanaan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) tertakluk kepada penularan semasa wabak Covid-19.
Baginda bertitah, perkara itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
"Masjid, surau atau sekolah agama tidak dibenarkan melaksanakan ibadah korban tetapi kebenaran diberikan kepada premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs)," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah mengingatkan pihak yang bercadang mengelola ibadah korban di negeri ini supaya mengemukakan Borang Permohonan Ibadah Korban Tahun 1442H/2021M Negeri Perlis kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya tujuh hari sebelum 10 Zulhijjah.
"Pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadah korban diminta mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah pencegahan.
Melihat kepada penularan yang masih di tahap membimbangkan, tiada aktiviti jamuan kenduri dibenarkan sebagai langkah kawalan," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, perincian SOP pelaksanaan ibadah korban dan borang akan dimaklumkan kelak danbergantung kepada penularan Covid-19 dan perkembangan semasa.
"Sebagai langkah persediaan untuk solat sunat Aidiladha di tanah lapang, pengurusan masjid diminta melaksanakan persiapan awal dan mengambil langkah proaktif.
"Diharap aktiviti pengimarahan Aidiladha dapat dibenarkan semaksimum mungkin namun MAIPs sedang mempertimbangkan keutamaan kepada jemaah yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ini termasuk diizinkan menyertai solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan aktiviti lain di masjid kelak.
"Terima kasih kepada semua pengurusan masjid yang selama ini ikhlas membantu memudah cara serta melaksanakan ketetapan dan tanggung jawab diamanahkan. Semoga usaha kita mendapat perkenan Allah SWT," titah baginda.