SHAH ALAM - Akta Gangguan Seksual yang dibentangkan di Parlimen sebelum ini perlu diwartakan segera bagi mengadili kes gangguan seksual yang semakin meningkat.
Naib Pejuanita Muda Malaysia (Penaja), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Roziani Maarof berkata, kerajaan terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengambil tindakan lebih tegas kepada penjenayah seksual bagi membendung masalah sosial yang kini semakin serius dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Beliau juga mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memainkan peranan membantu wanita muda supaya lebih berani bersuara jika menjadi mangsa.
"Masalah itu lebih membimbangkan apabila masyarakat hanya menyalahkan pelapor gangguan seksual. Perkara itu perlu dielakkan supaya keadilan dapat dilaksanakan tanpa prejudis,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau merujuk kepada isu seorang pensyarah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Selangor yang didakwa melakukan pengantunan seksual dan mengganggu bekas pelajarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan seksual: UiTM tak kompromi, buat laporan polis
Jelas beliau, jenayah gangguan seksual biasanya bermula daripada gurauan sebelum mangsa terjebak dengan kemurungan dan bunuh diri.
"Peratusan kes kemurungan dan bunuh diri akan turut meningkat jika dipandang enteng.
"Jenayah ini bukan hanya merugikan negara, tetapi kita juga akan kehilangan generasi muda sebagai pelapis dan pemacu ekonomi,” katanya.
Mengulas lanjut, Roziani berkata, hal tersebut tidak sepatutnya berlaku di institusi pendidikan tinggi yang dianggap sebagai gedung ilmu dan tempat melahirkan anak-anak muda yang bakal mencorak masa depan negara.
"Pendidik diberikan sepenuh kepercayaan oleh ibu bapa dan penjaga untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka.
"Tindakan tidak bermoral yang dilakukan pensyarah ini hanya memburukkan imej pendidik,” ujarnya.