FEAPs platform solusi depani cabaran pandemik Covid-19

Iklan
Antara peserta FEAPs sertai melalui aplikasi Zoom pada 16 Jun lalu.

SHAH ALAM - Seramai 230 peserta ikuti Edisi Pengenalan Family & Employee Assistance Programmes (FEAPs) dengan tema ALLAH Menyayangimu secara atas talian pada 16 Jun 2021.

Program secara mingguan tersebut dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd dengan tajaan Rumah Ngaji Perak. Ia bertujuan menjadikan al-Quran sebagai solusi pengurusan sumber manusia kepada keluarga dan pekerja yang terkesan dengan pelbagai isu hari ini.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, perjumpaan secara alam maya sebenarnya mensasarkan 528 organisasi yang menerima wakaf al-Quran dan menggerakkan Quran Corner di tempat masing-masing.

"FEAPs diharapkan dapat membantu dari segi sokongan kepada kumpulan barisan hadapan dan keluarga dalam mengekang pandemik Covid-19. Program ini memberi pendekatan Kalam Ilahi sebagai solusi dalam jiwa kita agar lebih tenang dalam menghadapi cabaran hidup.”

Iklan

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, lebih 500 tempat dalam al-Quran dikaitkan dengan rahmah atau kasih sayang ALLAH. Sebenarnya perkara tersebut amat menyenangkan hati dan memahami bahawa betapa ALLAH menyayangi kita.

Tambah beliau, FEAPs merupakan manifesto membawa ayat kasih sayang ALLAH tersebut dalam memberi kesan al-Quran kepada diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara. Antara fungsi al-Quran adalah:

Iklan

1.Al-Quran perlu dibaca berulang kali dan menjadi sumber hidayah

2.Al-Quran memberi hidayah untuk mengurus cara fikir dan perasaan

3.Al-Quran memberi motivasi diri

4.Al-Quran memberi khabar gembira kepda orang beriman

5.Al-Quran menyebabkan seseorang itu lebih produktif dan beramal soleh

"Jika mahukan organisasi bersemangat, lebih produktif dan sentiasa positif, kita perlu sentiasa berinteraksi dengan al-Quran. Melalui FEAPS, diharapkan al-Quran wakaf dan Quran Corner digerakkan di tempat masing-masing untuk dimanfaatkan ke dalam jiwa kita.

"Melalui Tabung Gerakan Al-Quran, ada seorang makcik yang hanya mampu mewakaf RM5 untuk turut sama menggerakkan gelombang al-Quran. Kita menghargai perjuangan Nabi Muhammad SAW dan kitalah yang meneruskan langkah dakwah Baginda SAW. Semoga al-Quran dapat disebarkan mengikut kemampuan masing-masing.”

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad yang turut serta FEAPs memberi perkongsian pengalaman warga PPAS dalam mendekati al-Quran di tempat kerja.

"Sejak 2015, PPAS bersama WUIF dengan pembukaan Rumah Ngaji @ PPAS dan mengerakkan #QuranHour termasuk Malaysia #Ngaji, World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour sehingga kini.

"Kami menguar-uarkan kempen tersebut beberapa tahun sebelum itu, tapi belum mempraktikkan. Bermula 2017, kami melaksanakan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran dalam kumpulan kecil tanpa mengira pangkat, bermula jam 8.15 pagi.

"Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan pada Mei lalu, semua staf PPAS disarankan untuk bersama membaca dan bertadabbur al-Quran secara atas talian. Kami pernah mencapai 270 daripada 295 staf bersama dalam satu sesi tersebut.

"Jika kita dapat mengubah organisasi berpandukan al-Quran dan Sunnah, ia mampu memberi impak kepada masyarakat. Pendekatan FEAPS dengan tema ALLAH menyayangmu bertepatan dengan situasi kita yang terkesan dengan cabaran pandemik Covid-19,” katanya.

Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata FEAPs merupakan program yang direka khas untuk memberi panduan dan motivasi melalui al-Quran kepada ummah akibat pandemik Covid-19.

"Pada kali ini, ia tertumpu untuk membantu keluarga dan pekerja yang menghadapi cabaran PKP dan sebagainya. Harapan saya, program ini akan dapat dimanfaatkan dan diperluaskan kepada segenap lapisan masyarakat. Ia juga membuktikan keagungan al-Quran dalam memberi solusi dalam kehidupan manusia,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour.