KUALA LUMPUR - Pengurusan di sebuah tapak pembinaan pangsapuri mewah di ibu kota menerima notis untuk membersihkan kawasan tempat tinggal pekerja kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, notis itu dikeluarkan setelah pihaknya mendapati tempat tinggal pekerja berkenaan sangat tidak memuaskan dan kotor.
"Pekerja di tapak binaan terpaksa tidur beralaskan papan lapis tanpa tilam, bantal, selimut serta kipas dengan tiada pengasingan tempat tidur antara lelaki dan perempuan.
"Kawasan mandi, tempat makan dan persekitaran di kawasan pembinaan ini juga agak kotor dengan sampah sarap serta longgokan sisa makanan. Selain itu, hanya ada enam tandas untuk digunakan 200 pekerja yang kebanyakan warga Bangladesh," katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu di tapak pembinaan sebuah pangsapuri mewah di sini pada Sabtu.
Mohamad Zainal berkata, pihaknya juga mempunyai kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi memastikan semua pekerja yang berada di sini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dari segi kebersihan.
"Kita menasihatkan pihak pengurusan untuk menambah baik segala kemudahan yang ada kerana kita bimbang keadaan persekitaran sebegini boleh berlakunya penularan wabak Covid-19.
"Kebanyakan kes positif Covid-19 di tapak-tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan," katanya.
Mohamad Zainal memaklumkan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak pengurusan tapak pembinaan itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan JTK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Faisal Fariz Baharudin berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis terhadap majikan untuk membaik pulih asrama pekerja.
"Kita akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 24 FA Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap majikan supaya membaik pulih asrama pekerja berkenaan," katanya.
Menurutnya, majikan diberi tempoh masa dua minggu selepas notis berkenaan dikeluarkan sebelum lawatan semula dilakukan di tempat berkenaan untuk pemeriksaan.
"Jika majikan didapati gagal melakukan baik pulih, kami akan mengeluarkan satu lagi notis mengikut Seksyen 24 FB akta sama bagi arahan memindahkan pekerja ke tempat penginapan lebih selesa," katanya.