PENGENDALI Sweden, Jan Anderson menegaskan tidak bimbang dengan kritikan terhadap gaya permainan pasukannya ketika melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Slovakia pada aksi Euro 2020.
Sebaliknya menurut Anderson, pasukan kendaliannya mempunyai cara tersendiri untuk memainkan bola dalam setiap perlawanan terutama menentang pasukan berintensiti tinggi.
"Sebenarnya Sweden mempunyai gaya permainan tersendiri setiap kali menentang lawan berbeza.
"Contoh babak pertama aksi kami tidak berada pada tahap terbaik, namun kami melakukan perubahan pada babak kedua dan hasilnya cukup memberangsangkan.
"Kami sepatutnya boleh menambah lagi jumlah jaringan, dan tidak terlalu tertekan dengan jaringan satu gol,” kata Anderson.
Sweden membawa pulang tiga mata sekali gus mencerahkan peluang ke pusingan 16 terbaik buat pertama kali sejak 2004, selepas Emil Forsberg menyempurnakan sepakan penalti.
Pada masa sama, Anderson memuji keampuhan barisan pertahanan dalam mengekang asakan pemain Slovakia yang tampil dengan misi melakar kemenangan kedua.
"Pertahanan kami pada perlawanan ini telah tampil cemerlang, tersusun dan bekerjasama antara satu sama lain manakala bahagian serangan sepatutnya diraikan kerana memberi tekanan kepada lawan.
"Kami telah beraksi tujuh perlawanan tahun ini dan bolos satu gol. Seandainya terdapat pihak menyatakan Sweden merupakan pasukan sukar untuk ditewaskan, sejujurnya saya amat gembira.
"Buat masa ini kedudukan Sweden berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati,” katanya.