PASIR GUDANG - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat seolah-olah memperlekehkan titah Yang di-Pertuan Agong apabila menyatakan Seri Paduka Baginda tidak menetapkan sebarang tarikh memulakan Dewan Rakyat.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pasir Gudang, K Suria Vengadesh berkata, sedangkan Yang di-Pertuan Agong mahukan Parlimen dibuka segera dan tindakan tersebut dilihat menderhaka terhadap titah Seri Paduka Baginda.
"Kenyataan Takiyuddin ini bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang mahukan Parlimen segera dibuka. Beliau seperti menidakkan dan menafikan titah Seri Paduka Baginda.
"Ini juga bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Parlimen akan dibuka pada September ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada Sabtu.
Kira-kira 15 ahli AMK dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang hadir dan laporan tersebut mendesak pihak polis melakukan siasatan terhadap Takiyuddin.
Mengulas lanjut, Suria berkata, kenyataan Takiyuddin itu tidak wajar kerana beliau merupakan seorang menteri malah dikhuatiri akan menjadi ikutan serta mendorong orang awam untuk turut mempertikai titah Seri Paduka Baginda.
Tegas beliau, satu siasatan perlu dilakukan disusuli dengan tindakan dan bukan sekadar satu siasatan tetapi selepas itu senyap serta dilepaskan begitu sahaja.
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu segera bersidang.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin
Derhaka: Polis akan panggil Takiyuddin