SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mengecualikan semua sewa premis kantin sekolah sehingga sektor persekolahan benar-benar pulih.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia memandangkan seramai 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara sangat terjejas dengan penutupan sekolah.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, kontrak semua pengendali kantin sekolah juga wajar dilanjutkan selama dua tahun lagi bagi menampung kehilangan pendapatan kerana penutupan sektor persekolahan.
"Sektor persekolahan akan terus ditutup sehinggalah fasa pemulihan bermula. Sementara menunggu semua intervensi tersebut berlaku, janganlah kita lupa kepada sektor sokongan seperti pengusaha kantin sekolah.
"Pada saat sebegini, apa juga tindakan yang dapat mengurangkan beban rakyat mesti menjadi keutamaan tertinggi kerajaan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas untuk divaksinasi selain mengutamakan pelajar yang akan menduduki peperiksaan umum.
Jelas beliau, perkara tersebut akan mempercepatkan pembukaan sektor persekolahan dan memulihkan sistem pembelajaran dan pengajaran.