PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MS) berharap dapat mengadakan Piala Presiden 2021 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, November depan setelah berjaya menganjurkan Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-63 minggu lalu.
Setiausaha Agung MS, Mae Chen berkata, perenang dari kelab renang tempatan di seluruh negara akan dapat bersaing dalam kejohanan itu selain memberi peluang perenang negara mengambil bahagian dalam kategori terbuka.
Iklan
Iklan
"Sekiranya semuanya berjalan lancar, kami dapat mengadakan satu lagi pertandingan sebelum Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam yang akan berlangsung pada November.
"Kami amat berharap dapat mengadakan kejohanan ini jika pandemik Covid-19 di negara ini bertambah baik,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya mengenai pemilihan Pusat Akuatik Nasional sebagai venue, Chen berkata, lokasi tersebut mungkin yang paling sesuai bagi MS untuk mengadakan kejohanan renang buat masa ini terutamanya sekiranya acara itu akan diadakan dalam konsep gelembung sukan.
"Jika ada gelembung sukan, harusnya lah di Bukit Jalil,” katanya.
Kali terakhir MS mengadakan Piala Presiden adalah pada November 2019 di Shah Alam.