KDN kenal pasti jumlah individu didaftar sebagai anggota Rela

Iklan
KDN sudah mengenal pasti jumlah individu yang didaftarkan sebagai anggota Rela tanpa pengetahuan mereka. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti jumlah individu yang didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tanpa pengetahuan dan kerelaan mereka sendiri selepas isu itu tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya dalam proses menghubungi mereka yang terbabit bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara itu.

Iklan
Iklan

"Kita sudah pastikan jumlah keseluruhan dan akan hubungi mereka seorang demi seorang. Sebelum ini, sistem pendaftaran anggota Rela dilakukan secara manual sebelum dimasukkan dalam sistem kemasukan dan sebab itu kita minta mereka (Rela) supaya menghubungi individu berkenaan untuk tahu siapa orangnya.

"Setakat ini ada dua atau tiga daripada mereka yang dihubungi memaklumkan yang mungkin mereka didatangi seseorang untuk menandatangani sesuatu tetapi kita tidak tahu sama ada tandatangan itu untuk jadi anggota Rela atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah pusat beli-belah di Puchong, di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin menyertai Rela supaya mengikuti saluran yang sah dan tidak sewenang-wenangnya menurunkan tandatangan kepada pihak yang meragukan.

Pada 15 Jun lepas, KDN mengarahkan Rela untuk menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan data, berikutan isu tular orang ramai didaftarkan sebagai anggota pasukan itu, tanpa pengetahuan mereka.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: KDN tunggu laporan penuh isu pendaftaran automatik Rela

Rela tepis dakwaan keanggotaan secara automatik

Rela dalam kenyataannya sebelum ini menafikan bahawa mereka secara automatik mendaftarkan rakyat Malaysia tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) berkuat kuasa.

Hamzah sebelum itu turut menjalankan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard PKP di dua kilang di Salak Tinggi dan Dengkil serta pemeriksaan di sebuah pasar raya di Puchong.

Turut hadir dalam operasi itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Pasukan Gerakan Am Datuk Mastor Mohd Ariff dan Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Azman Adam.

Sementara itu, mengulas mengenai nama calon jawatan nombor dua dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, Hamzah berkata nama calon yang dicadangkan telah dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapatkan perkenan baginda. - Bernama