Sunyi, ibarat 'bandar hantu'

Iklan
Jalan Jati yang kelihatan lengang ketika tinjauan hari ketiga pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bersasar di pusat bandar Labuan. Foto Bernama

LABUAN - Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di Labuan menjadikan kawasan pulau bebas cukai itu yang biasanya sibuk dengan pelbagai aktiviti, sunyi dan lengang seumpama bandar yang ditinggalkan.

Penguatkuasaan sekatan itu merupakan yang pertama dilaksanakan di pusat bandar Labuan dengan penduduk diarahkan supaya berada di rumah dan hanya keluar untuk urusan penting seperti pergi ke klinik atau membeli ubat di farmasi, susulan peningkatan kes Covid-19 serta jumlah kematian di seluruh pulau itu.

Iklan
Iklan

Kedai-kedai yang menjual barangan keperluan seperti makanan di kawasan tumpuan di sekitar pusat bandar juga tidak dibenarkan beroperasi walaupun penjualan secara bawa pulang.

Beberapa bahagian di Labuan dikenakan sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun, berikutan peningkatan kes Covid-19 dan selain pusat bandar, tujuh kawasan lain yang terlibat adalah Kampung Sungai Keling, Simpang Sahari di Kampung Bukit Kalam, perkampungan air Kg Patau-Patau 1 dan 2, Taman Perumahan Mutiara Sg Bedaun, Kampung Layang-Layangan, Kampung Durian Tunjong dan Kampung Tanjung Aru.

Iklan

Walaupun Labuan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 26 Mei hingga 24 Jun, kes di pulau itu terus meningkat dan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh bagi memastikan sistem kesihatan di pulau itu tidak lumpuh ekoran penularan virus Covid-19.

Timbalan Presiden Persatuan Sikh Labuan merangkap ahli jawatankuasa Dewan Perniagaan India Labuan, Balvir Singh berkata, pusat bandar Labuan yang biasanya sibuk terutama pada waktu malam telah menjadi sunyi sepi sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Iklan

"Jalan-jalan di pusat bandar biasanya sibuk dengan pembeli tetapi sekarang ini hampir kosong, tidak ada pihak yang mahu melihat tempoh sekatan dilanjutkan, namun ia jelas Covid-19 menular semasa kita leka," katanya.

Balvir berkata, adalah penting bagi semua orang melakukan apa yang mereka mampu bagi menyesuaikan diri dengan sekatan baharu itu dan menyokong usaha kerajaan dalam mengekang penularan virus Covid-19 serta memastikan aktiviti dan perniagaan penting terus bergerak hingga bulan depan dan seterusnya. -Bernama