SHAH ALAM - Terdapat lima objektif teras utama yang perlu diambil kira oleh kerajaan bagi menangani cabaran untuk memulihkan sektor pendidikan negara yang dilihat terjejas ekoran daripada penularan Covid-19.
EMIR Research menerusi kertas cadangannya terhadap kerajaan berkaitan strategi keluar bagi Malaysia dalam krisis pandemik Covid-19 menyatakan kesemua perkara dicadangkan itu mengambil kira matlamat untuk kesinambungan pelajar dan tenaga kerja institusi pendidikan.
Menurut kenyataan itu, objektif pertama yang dicadangkan adalah penggunaan infrastruktur sedia ada dan yang terbaharu untuk memastikan tiada gangguan bagi semua peringkat pendidikan.
"Dalam memastikan tiada gangguan bagi semua peringkat, pendidikan harus disebarkan melalui semua saluran termasuk menggunakan kemampuan siaran televisyen yang ada untuk pendidikan rendah dan prasekolah.
"Memandangkan isi rumah mungkin mempunyai kapasiti televisyen terhad menyiarkan saluran berlainan untuk tahap pendidikan berbeza, aliran serentak perlu diberi kemampuan untuk akses melalui platform lain seperti alat peranti mudah alih dan komputer riba.
”Prasyarat sebarang sumber alternatif yang berasaskan internet adalah penyambungan internet berkelajuan tinggi dan stabil serta alat peranti elektronik,” kata kenyataan itu pada Sabtu.
Pasukan penyelidik EMIR Research yang bekerjasama dalam menyediakan kertas cadangan ‘Blok binaan cadangan strategi keluar bagi Malaysia’ ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff; Dr Margarita Peredaryenko; Jason Loh dan Ameen Kamal.
Strategi cadangan yang diusulkan oleh EMIR Research merangkumi empat teras utama iaitu melindungi nyawa dan sara hidup, tindak balas kecemasan pendidikan, pendamaian nasional dan pelan pemulihan ekonomi negara.
Sementara itu, objektif kedua yang dinyatakan dalam cadangan tindak balas kecemasan pendidikan negara ialah mengutamakan pemberian vaksin terhadap kumpulan barisan hadapan sektor pendidikan seperti guru dan kakitangan sekolah.
Menurut kenyataan itu, keutamaan tersebut bagi memastikan institusi pendidikan bersiap siaga untuk pembukaan semula dan ia juga dilihat dapat menyokong pelaksanaan dasar seperti pendidikan hibrid dan pembukaan separa penuh.
"Tertakluk pada hasil ujian klinikal untuk vaksinasi kanak-kanak dan pelajar muda, golongan ini juga harus dipertimbangkan untuk menerima vaksin,” kata kenyataan itu.
Objektif keempat yang dicadangkan adalah memastikan langkah pencegahan jangkitan Covid-19 yang mencukupi di semua sekolah yang bakal kembali dibuka.
Kenyataan itu berkata, pihak berkuasa perlu memastikan kecukupan alat pembersih dan sanitasi, peralatan pemeriksaan suhu dan juga pembersih serta penapis udara di semua institusi pendidikan sebelum ia diberikan kebenaran untuk beroperasi.
Tambah kenyataan itu, langkah strategik tersebut sekiranya digandingkan dengan objektif kedua akan membolehkan sebahagian besar pelajar di peringkat sekolah rendah dan ke bawah untuk kembali ke kelas secara fizikal dengan lebih selamat.
"Dari perspektif jangka masa panjang, kerajaan harus menetapkan sasaran untuk peningkatan dan pemasangan sistem penapisan serta pembersihan udara terkini di semua pusat institusi pendidikan kerajaan.
"Peralatan tersebut mesti dijadikan standard dan piawaian industri pendidikan sebagai strategi ketersediaan bagi ancaman pandemik di masa hadapan.
"Situasi pandemik semasa telah menetapkan kepentingan mengatasi isu ini melalui strategi penggunaan sistem penapisan dan pembersihan udara,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, cadangan itu turut meminta supaya ujian saringan besar-besaran kepada pelajar dengan menggunakan sekolah sebagai lokasi pusat saringan.
Kata kenyataan itu, cadangan dalam objektif kelima itu mengambil kira lokasi sekolah yang disifatkan sebagai strategik dan dilihat ketika ini sebagai aset kemudahan yang masih kurang digunakan untuk ujian saringan massa.
"Senarai pelajar dari sekolah tertentu boleh dikerah secara berperingkat bagi tujuan ujian saringan. Ini membolehkan peningkatan pengesanan dan pengasingan kes yang akan ditambahkan pada pangkalan data ujian untuk pencapaian yang lebih baik.
"Pelajar yang diuji positif akan dihubungkan dengan ahli keluarganya, untuk dikuarantin dan diuji seterusnya. Kesan keseluruhannya adalah ujian, pengesanan, pengasingan, dan rawatan kes yang lebih tinggi.
"Setelah dibuka semula, ujian saringan di sekolah harus dilanjutkan secara rawak, dengan intensiti yang semakin meningkat,” tambah kenyataan itu.