Israel cuba perdaya Palestin

Iklan
Anggota-anggota pasukan keselamatan Israel menangkap seorang penduduk. - AFP

BAITULMAQDIS - Israel mencabul gencatan senjata yang dipersetujui dengan Hamas apabila melancarkan serangan udara buat pertama kali di Gaza pada awal pagi Rabu lalu dengan menjadikan beberapa bangunan milik Hamas sebagai sasarannya.

Serangan itu dilakukan dua hari selepas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengangkat sumpah jawatan itu pada Ahad minggu lalu dengan menggantikan Benjamin Netanyahu dan sekali gus menamatkan pemerintahannya selama 12 tahun.

Iklan
Iklan

Tentera Israel juga mencabul gencatan senjata tersebut buat kali kedua pada malam Khamis lalu apabila melancarkan serangan udara ke atas beberapa kemudahan Hamas dekat bandar Gaza dan berhampiran Khan Yunis.

Difahamkan tiada laporan kematian dan kecederaan, tetapi bangunan pentadbiran awam yang dikendalikan Hamas di utara Gaza, sebuah pangkalan Hamas dekat Khan Yunis, satu lokasi dekat bandar Gaza dan tanah pertanian yang didakwa menjadi tempat pelancar roket pergerakan Islam di selatan Gaza dipercayai musnah dalam serangan itu.

Iklan

Hamas dilaporkan melakukan serangan balas dengan melepaskan tembakan menggunakan senjata berat ke arah Israel pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, tentera Israel menjadikan alasan pelepasan belon api dari Gaza oleh pejuang Hamas sehingga mengakibatkan 20 kawasan terbakar di negara itu tersebut sebagai sebab untuk melancarkan serangan udara pada awal pagi Rabu lalu.

Iklan

Namun, portal berita BBC melaporkan Hamas melakukan tindak balas itu ekoran Perarakan Bendera diadakan oleh penduduk Israel di Baitulmaqdis Timur pada Selasa lepas.

Penduduk Palestin menganggap perarakan itu yang diadakan bagi memperingati penjajahan Israel di Baitulmaqdis Timur selepas menewaskan tentera Jordan dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 itu sebagai satu bentuk hasutan terhadap mereka.

Letupan berlaku akibat serangan udara tentera rejim Zionis pada awal pagi Rabu di Gaza. - AFP

Dalam perarakan itu juga, ribuan penduduk Israel mengibarkan bendera dan melaungkan slogan ‘kematian untuk orang Arab’ dan meminta kampung Palestin dibakar.

Selain itu, ia turut diadakan ketika rejim Zionis merancang mahu mengusir keluarga penduduk Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Perarakan kontroversi itu menyaksikan sekurang-kurangnya 2,500 pemuda Yahudi menari-nari ketika berarak dari Pintu Jaffa ke Pintu Damsyik di Kota Lama Baitulmaqdis Timur.

Sebelum perarakan tersebut bermula, ratusan pemuda membawa bendera Israel pada jam 6 petang waktu tempatan.

Malah, laungan menghina Nabi Muhammad SAW juga diucapkan oleh peserta perarakan itu.

Rejim Zionis juga memberikan keistimewaan kepada peserta kumpulan perarakan itu apabila pasukan keselamatan Israel mengosongkan laluan untuk mereka berarak bagi mengelak diganggu penduduk Palestin.

Sebagai tindak balas, sebahagian penduduk Palestin turut bertindak melemparkan batu ke arah peserta itu.

Polis Israel turut menangkap 17 penduduk Palestin di Pintu Damsyik, Baitulmaqdis Timur atas tuduhan menganggu keselamatan awam.

Namun, rejim Zionis dilihat ‘berlagak’ kerana tidak menghiraukan perasaan penduduk Palestin apabila Menteri Keselamatan Awam Israel, Omer Bar-Lev pada Isnin lalu membuat keputusan untuk membenarkan perarakan itu diadakan.

Sejumlah penduduk Yahudi berhimpun di Pintu Damsyik, Kota Lama Baitulmaqdis Timur pada Selasa. - AFP

Sedangkan, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menyatakan pada Isnin lalu bahawa perarakan tersebut sebagai satu tindakan hasutan dan agresif ke atas penduduk Palestin serta Baitulmaqdis.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan satu tindakan yang berbahaya akan berlaku disebabkan perarakan itu.

Justeru, inilah punca yang menyebabkan konflik terbaharu berlaku antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Parti Arab iaitu Ra’am yang diketuai Mansour Abbas turut menyatakan bahawa Menteri Keselamatan Awam rejim Zionis sepatutnya membatalkan perarakan tersebut.

Gencatan senjata telah dipersetujui antara rejim Zionis dengan Hamas pada bulan lalu selepas berlaku pertempuran selama 11 hari antara kedua-dua pihak yang bermula berikutan sebuah mahkamah Israel membuat keputusan mengusir beberapa keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.

Dalam gencatan senjata itu yang menyaksikan Mesir menjadi perantara itu, seramai 256 penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak terkorban selepas dibom rejim Zionis manakala 12 orang awam di Israel turut terbunuh. -Agensi