PELAN Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bertujuan agar kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun mendepani pandemik Covid-19, sekali gus membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala menjelang akhir tahun ini.
Terdapat tiga indikator dan nilai ambang yang dikemukakan Perdana Menteri iaitu angka kes harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan populasi lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.
Mengikut pandangan Lidah Pengarang Sin Chew Daily, apa yang dirancangkan oleh kerajaan daripada fasa satu hingga fasa empat adalah dapat memastikan semua aktiviti termasuk sektor perniagaan dan sektor sosial dapat dibuka sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.
"Pendek kata, kejayaan Pelan Pemulihan Negara dapat dicapai atau tidak adalah bergantung sepenuhnya terhadap projek vaksinasi yang dijalankan di seluruh negara ketika ini.
"Kita masih sukar meramalkan bagaimana seriusnya tahap penularan Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Selagi kita gagal memerangi hingga berjaya, selagi itulah sektor-sektor ekonomi yang penting seperti pelancongan, penerbangan, perhotelan, restoran dan pengangkutan darat akan terus berada dalam keadaan tenat,” tulis akhbar itu.
Sin Chew Daily turut beranggapan kita seperti sedang berlumba dengan virus Covid-19 bahawa jika ingin menewaskannya, kita mesti melengkapkan vaksinasi secara beramai-ramai terlebih dahulu.
Pada masa ini, rakyat Malaysia telah menerima lebih tiga juta suntikan dos vaksin, dengan lebih dua juta penerima telah menerima satu suntikan dos. Kini, kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara.
"Sekiranya seluruh rakyat jelata mengambil inisiatif menerima suntikan vaksin, usaha membendung Covid-19 pasti akan berjaya suatu hari nanti.
"Seperti kata Perdana Menteri, negara akan memperoleh bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada Julai ini dan diharap matlamat 60 peratus penduduk menerima vaksin dapat tercapai antara Oktober hingga November depan.
"Berdasarkan jumlah dos yang telah diterima rakyat setakat hari ini, harapan kerajaan yang menyasarkan 300,000 dos setiap hari mulai Ogos ini tidaklah sukar dicapai.
"Sekiranya segala perancangan mendapat hasil yang memuaskan, sudah tentu jumlah peningkatan angka kes harian dan masalah keupayaan sistem kesihatan awam tidak akan berlaku lagi,” ulas akhbar tersebut.
Empat fasa yang dirangka dalam Pelan Pemulihan Negara walaupun bertujuan untuk mengawal Covid-19 demi menyelamatkan ekonomi negara, namun keadaan tetap membimbangkan apabila sektor ekonomi hanya dapat dibuka sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
"Perangkaan yang diberikan oleh International Monetary Fund (IMF), Pertubuhan Bank Dunia dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia awal tahun ini bahawa kedudukan ekonomi Malaysia tahun ini akan berkembang pada kadar antara 5.2 peratus hingga 6.7 peratus.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu yakin dengan jumlah angka. Kerajaan sebelum ini telah menjelaskan negara telah kehilangan sebanyak RM3 bilion sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang dikuatkuasakan bulan ini.
"Sekiranya tempoh sekatan ini tidak dipendekkan, kedudukan ekonomi negara kemungkinan akan merudum pada kadar 2.5 peratus,” kata akhbar itu lagi.
Menurut Sin Chew Daily, sekiranya kita tidak mahu sektor ekonomi terus terjejas teruk, apa yang diutamakan adalah semua orang mesti mendapatkan segera vaksin dan sasaran 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini dapat dijayakan.
"Mematikan rantaian Covid-19 dan membuka aktiviti ekonomi sepenuhnya, itulah menjadi keutamaan kita sebenarnya,” tulis akhbar itu.
*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian