PRINSIPAL Petronas Sepang Racing Team (PSRT) Datuk Razlan Razali menegaskan pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok, memiliki masa depan yang cerah untuk menyertai pasukan Moto3 PSRT, mulai 2022.
Menurut Razlan prestasi cemerlang Syarifuddin,19 pada saingan CEV Moto3 Remaja Dunia FIM di Litar Catalunya, Barcelona 13 Jun lalu dilihat sebagai satu pencapaian yang membanggakan.
Sekali gus katanya, ia turut membuktikan kejayaan serta keberkesanan program pembangunan bakat muda yang jalankan oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selama ini.
"Seperti yang kita tahu, saingan dalam CEV Moto3 adalah sangat kompetitif dan mencabar; oleh itu, kejayaan Syafiruddin adalah sesuatu yang menggembirakan kita semua dan membuktikan keberkesanan program pembangunan yang dijalankan oleh SIC.
"Kejayaan Syarifuddin juga menunjukkan dia telah bersedia secukupnya bagi menyertai saingan CEV kali ini dengan membuktikan dia mampu bersaing dengan pelumba-pelumba lain khususnya pelumba dari Sepanyol yang boleh dikatakan berlumba di ‘litar sendiri’ pada saingan CEV Moto3 kali ini.
"Secara keseluruhannya juga, kejayaan itu menunjukkan Syarifuddn telah banyak meningkat dan matang pada tahun kedua penyertaannya dalam saingan CEV,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Syarifuddin melakar sejarah tersendiri apabila muncul pelumba negara pertama yang muncul juara bagi perlumbaan pertama CEV Moto3 berkenaan, bagaimanapun dia tidak menamatkan perlumbaan kedua apabila gagal menamatkan perlumbaan setelah terlibat dalam kemalangan akibat berlanggar dengan pelumba lain.
Razlan turut berharap agar Syarifuddin dapat meneruskan kecemerlangannya dengan meraih lebih banyak kedudukan podium pada perlumbaan-perlumbaan akan datang.
"Kita juga mahu dia terus menyerlah dan mempamerkan aksi yang terbaik pada masa akan datang dalam usaha meraih lebih banyak kedudukan podium.
"Ternyata, program pembangunan bakat muda ini mengambil masa, memerlukan kesabaran, ketabahan selain melibatkan kekecewaan, tangisan, sakit kepala dan sebagainya; namun ia juga memberikan kepuasan tidak terhingga apabila sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pelumba Moto2 negara, Adam Norrodin, Razlan berkata, pelumba berusia 23 tahun itu perlu berada lebih hampir di hadapan dalam usaha melakar kejayaan selepas ini.
"Pada perlumbaan di Catalunya, Adam gagal menamatkan perlumbaan pertama apabila terlibat dalam kemalangan, bagaimanapun kegagalan itu ditebus dengan menamatkan perlumbaan kedua pada kedudukan keempat.
"Ini satu pencapaian yang baik kerana seperti yang kita tahu, saingan dalam CEV Moto2 tidak begitu kompetitif berbanding CEV Moto3, tapi ia adalah saingan paling kompetitif dalam saingan kejuaraan dunia,” katanya.