Bauksit: Proses libat urus diadakan, tambah baik SOP

Iklan

PUTRAJAYA - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) akan mengadakan sesi pendengaran awam dan libat urus bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengurusan perlombongan dan pengeskportan bauksit di Pahang.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini proses libat urus itu akan diadakan sebelum 31 Mac dan akan mengambil kira kepentingan rakyat serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, SOP tersebut merangkumi semua aspek termasuk perancangan perlombongan, pengurusan tapak perlombongan bauksit; pengangkutan dan penguatkuasaan; pengurusan tapak stok dan pelabuhan serta prosedur pengeksportan bauksit.

"Orang awam akan dapat akses serta meneliti SOP tersebut pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," menurut kenyataan itu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Isu bauksit, perlombongan: PPMNP hasrat berdialog dengan menteri

Menurut KATS, sesi libat urus itu diadakan susulan keputusan kabinet pada 18 Februari lepas bahawa moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang ditamatkan pada 31 Mac.

Iklan

Susulan itu, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan SOP baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

Menurut kenyataan itu lagi, KATS komited untuk memastikan segala keluhan rakyat terutama mereka yang terkesan secara langsung dengan aktiviti perlombongan bauksit itu didengari selaras dengan visi kementerian sebagai peneraju pengurusan air, tanah dan sumber asli secara mampan demi kesejahteraan negara.

Usaha giat sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) serta kerajaan negeri Pahang. - Bernama