PENGENDALI Portugal, Fernando Santos menegaskan dia akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekelahan 2-4 skuad kendaliannya itu ketika berdepan Jerman pada aksi Kumpulan F, Euro 2020 pada awal pagi Ahad.
Menurut Santos, skuad kendaliannya itu jelas dilihat gagal menyaingi barisan berpengalaman sehingga menyumbang kepada kekalahan berkenaan.
"Kami tewas kepada pasukan yang jauh lebih baik. Mereka menguasai bahagian tengah dan walaupun kami memberikan tumpuan untuk merantai duo serangan mereka, Ilkay Gundogan dan Tony Kroos, mereka dilihat tetap berjaya menguasai bahagian tengah.
"Rancangan asalnya adalah untuk memberikan tekanan pada bahagian tengah dengan tetapi sebaliknya ternyata kita yang ditekan hingga memaksa pemain kita berundur ke belakang bagi mengekang asakan-asakan mereka (Jerman).
"Sekali gus, ini memberikan lebih ruang kepada jentea serangan mereka untuk menembusi benteng pertahanan kita dan saya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-15, namun dua gol sendiri daripada Ruben Dias dan Raphael Guerreiro pada minit ke-35 dan 39 telah membuka peluang untuk Jerman kembali bangkit dan menjaringkan gol ketiga menerusi Kai Havertz pada minit ke-51 dan Robin Gosens (60) bagi melengkapkan kemenangan.
Sementara itu Santos tidak mahu meletakkan sebarang kesalahan ke atas pemainnya atas kekalahan berkenaan.
Katanya, pemain telah melakukan yang terbaik bagi mengharungi perlawanan berkenaan dan adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan berkenaan kepada mereka.
"Bagi saya, tidak adil untuk saya menyalahkan pemain. Mereka tidak bersalah, tetapi sebalikya saya yang patut dipersalahkan kerana seratus peratus saya telah gagal.
"Oleh itu, kita tidak ada pilihan lain dan perlu bangkit pada perlawanan terakhir berdepan Perancis, 24 Jun nanti,” katanya.