KPM buka pengambilan khas 18,702 guru gred DG41

Iklan
Radzi Jidin

PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal membuat pengambilan khas secara one-off melibatkan sejumlah 18,702 guru bagi gred DG41 yang turut dibuka kepada graduan bukan bidang pendidikan bagi mengatasi isu kekurangan guru di negara ini.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, berkata langkah itu bertujuan menampung kekurangan guru di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor selain usaha mencapai perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengambilan tersebut antara lain akan memberi tumpuan mengisi kekosongan guru bagi mata pelajaran tertentu yang menyebabkan wujudnya jurang tenaga pengajar hingga menjadi cabaran utama sistem pendidikan negara masa kini.

"Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan perancangan lebih teratur dengan pendekatan baharu oleh kementerian bersama SPP dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Iklan

"Iklan pengambilan akan dikeluarkan oleh SPP pada 7 Julai depan dan penempatan pula bermula Oktober secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Ahad.

Beliau menjelaskan, kekurangan guru bagi negeri-negeri terlibat membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Agama Islam.

Iklan

"Bagi sekolah rendah, terdapat lima mata pelajaran mengalami kekurangan guru iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

"Bagi sekolah menengah pula, kekurangan guru bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi,” katanya.

Justeru ujarnya, melalui pendekatan pengambilan baharu menerusi kerjasama SPP dan JPA, akan memberi peluang kepada graduan yang berminat dan berkelayakan seperti yang ditetapkan.

"Ramai tertanya-tanya mereka ada kelayakan dalam bidang pendidikan tetapi tidak dipanggil untuk mengajar. Dalam konteks ini adalah kerana ketidakpadanan mata pelajaran. Bekalan (graduan pendidikan) yang ada amat terhad.

"Bagaimanapun bagi pengambilan ini kita akan utamakan graduan pendidikan tapi dalam masa sama pendekatan baharu digunakan supaya dapat mengatasi isu ketidakpadanan guru bagi mata pelajaran tertentu,” katanya.