JOHOR BAHRU - Seorang suri rumah hampir tertusuk kayu bumbung dalam kejadian ribut di rumahnya di Taman Delima di sini pada Sabtu.
Ketika kejadian pada jam 5 petang itu, Farhana Yusoff, 30, bersama suaminya, Amri Razali, 30, dan anaknya, 18 bulan sedang menonton televisyen sebelum terdengar angin kencang.
Amri berkata, angin kuat menyebabkan bumbung hadapan rumahnya berlipat dan separuh daripadanya melayang.
"Kami panik manakala anak pula tidak berhenti menangis selepas hujan membasahi ruang tamu.
"Melihat keadaan itu, isteri saya masuk ke bilik untuk menyelamatkan barangan bayi. Ketika hendak keluar dari bilik tidur dia terdengar bunyi kuat sebelum sebatang kayu bumbung jatuh dan hampir menusuknya," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon di rumahnya pada Ahad.
Amri yang bekerja sebagai juruteknik berkata, ketika kelam kabut itu dia sempat menyelamatkan beberapa barangan penting
Katanya, kejadian itu menyebabkan beberapa barangan elektrik serta perabot rumahnya rosak terkena hujan selain cermin belakang kereta pecah ditimpa bumbung yang tercabut dengan anggaran kerugian RM5,000.
Sementara itu, Steven Choong memberitahu, sebanyak 80 buah rumah mengalami kerosakan melibatkan 150 penduduk disebabkan kejadian tersebut.
"Setelah meneliti kerosakan yang dialami penduduk, pihak Baitulmal akan membantu 40 buah rumah terjejas manakala selebihnya akan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor," katanya.
Anggaran keseluruhan kerosakan melibatkan harta benda dan kenderaan katanya, masih dalam siasatan serta tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
"Pihak JKM Johor dan Yayasan Bandaraya Johor Bahru akan menyalurkan sumbangan segera termasuk bakul makanan selain sebahagian kos baiki bumbung.
"Pejabat Parlimen Tebrau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa turut menyampaikan bantuan bakul makanan serta bantuan lain yang diperlukan bagi memastikan tidak ada penduduk yang terlepas pandang," katanya.