Kelantan teliti cadangan pusat pengumpulan hasil pertanian di Lojing

Iklan
Ahmad (dua dari kanan) dan Che Abdullah (kanan) menyampaikan bekalan beras kepada Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah sebagai wakil penduduk di PKPD Kutan Tengah, Tumpat.

TUMPAT - Kerajaan negeri Kelantan bersetuju meneliti cadangan penubuhan pusat pengumpulan hasil pertanian di kawasan tanah tinggi Lojing, Gua Musang.

Cadangan itu sebagai langkah pengurusan yang lebih teratur sekali gus menangani isu berulang berkaitan pembuangan hasil pertanian di kawasan Lojing.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah penyediaan kemudahan itu perlu diteliti untuk dimanfaatkan oleh Persatuan Pengusaha Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing.

"Cadangan untuk mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian itu akan dilihat dari segi perlaksanaannya termasuk pemilihan lokasi yang sesuai dan sebagainya,” katanya.

Iklan

"Setakat ini, pusat pengumpulan adalah di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang, yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyebabkan lambakan berlaku,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke PKPD Kutan Tengah, Wakaf Bharu di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Iklan

Sebelum itu, mereka menyempurnakan penyampaian 560 pek barangan makanan basah termasuk ayam dan ikan kepada pendudukan di kawasan PKPD Kutan Tengah.

Ahmad Yakob berkata, isu pembaziran 150 tan sayur setiap hari oleh penanam sayur di Lojing akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengatasi kerugian.

"Keadaan bergantung pandangan oleh pihak Pejabat Kesihatan Negeri kerana Covid-19 dan lokasi PKPD yang dilaksanakan di sana.

"Perkara ini akan diselesaikan melalui MKN atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, pihak kementerian akan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam usaha bangunkan sektor kementerian dan membantu para petani.

"Kementerian sudahpun berbincang berhubung isu pembaziran sayuran ini pada Rabu lalu dan difahamkan dah dibawa ke dalam kabinet bagi mencari jalan penyelesaian.

"Masalah ini akan diambil langkah cepat oleh pihak kementerian yang turun sendiri untuk melihat keadaan di sana,” katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan 150 tan sayur-sayuran dibuang di Lojing, Gua Musang pada setiap hari berikutan kekangan ketika Covid-19 dan PKPD.