KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus bagi golongan orang kelainan upaya (OKU).
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, golongan OKU yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 agak rendah iaitu seramai 10,229 daripada 240,991 yang berdaftar di aplikasi MySejahtera.
Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi tujuan tersebut.
"Sekarang ini jumlah OKU yang menerima vaksin agak rendah berbanding golongan sasar KPWKM seperti warga emas iaitu lebih 50 peratus daripada 2.4 juta individu sudah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 10 peratus sudah dapat dua dos.
"Dengan pembukaan lebih banyak PPV, golongan OKU ini ia juga akan mempercepatkan hasrat kerajaan untuk membina imuniti kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia yang djangka dicapai hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau penyampaian perkhidmatan kebajikan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Perumahan Awam Desa Rejang, setapak disini pada Ahad.
Tambah beliau, sukarelawan di bawah agensinya iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),Yayasan Kebajikan Negara dan Skuad Prihatin Negara yang terdiri daripada 15,000 anggota akan digerakkan bagi membantu dari segi pendaftaran vaksin, advokasi, serta untuk membawa mereka pergi dan pulang ke PPV.
Dalam perkembangan lain, KPWKM juga telah menyumbangkan bakul makanan berupa barangan asas untuk penduduk di kawasan tersebut meneruskan kelangsungan hidup.
Jelas Rina, sehingga kini pihaknya telah mengagihkan 3,000 bakul makanan kepada penduduk yang terjejas di kawasan PKPD itu.
"Bantuan bakul makanan yang disumbangkan oleh KPWKM juga adalah bantuan bersasar.
"Bakul makanan yang disediakan oleh kementerian adalah barangan keperluan kering atas faktor penyimpanan dan pembungkusan,” katanya.
Selain itu ujar Rina, KPWKM juga akan menghantar 14,000 bakul makanan ke Labuan yang kini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.