PASIR GUDANG- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyorok dan membawa keluar minyak masak subsidi ke luar negara, khususnya sempadan Thailand.
Ketua Setiausahanya, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, selain mengelakkan penyalahgunaan minyak masak bersubsidi, ia bagi memastikan bekalannya mencukupi di seluruh negara.
Menurutnya, buat masa ini kerajaan telah memperuntukkan 60,000 metrik tan minyak masak subsidi setiap bulan atau 720,000 tan setahun yang mencukupi untuk nisbah keperluan 32 juta penduduk negara ini.
"Dari semasa ke semasa kita membuat tangkapan dan rampasan minyak-minyak masak ini yang dibeli di kedai, kemudian dikumpul dan dihantar ke negara jiran ataupun dibuka semula dan dimasukkan di dalam bekas yang lebih besar seperti dalam tin dan sebagainya untuk mengaburi mata pihak berkuasa, seolah-olah minyak itu bukan subsidi.
"Kita dapat maklumat daripada unit-unit perisikan dan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan di sempadan termasuk tentera dan sebagainya.
"Terbaru, KPDNHEP Kelantan telah merampas 9,350 kilogram minyak masak paket yang cuba diseludup ke Thailand pada 5 Jun lalu.
"Ini antara cabaran dalam menguruskan minyak masak bersubsidi kerana harga minyak masak di negara jiran lebih tinggi daripada harga subsidi yang kita tawarkan kepada rakyat ataupun minyak proses untuk pasaran negara," katanya selepas membuat lawatan ke kilang PGEO Edible Oils Sdn Bhd di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di bawah skim minyak masak bersubsidi, kerajaan telah melantik 300 repacker yang aktif untuk membungkus minyak masak peket satu kilogram di seluruh negara.
Jumlah itu katanya, mencukupi kerana setiap rakyat di negara ini mendapat peruntukan minyak masak bersubsidi kira-kira dua kilogram setiap orang.
"Jadi, kita menjangkakan ia cukup cuma cabarannya adalah mungkin pengedaran atau ada pengguna yang membeli lebih daripada yang sepatutnya.
"Sebab itu, kebelakangan ini kita telah mengehadkan supaya penjualan minyak masak paket ini dihadkan kepada tiga atau sesetengah tempat dua peket," ujarnya.
Sementara itu, beliau menegaskan tidak timbul persoalan bahawa minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg satu kilogram kualitinya rendah mahupun minyak kitar semula.
Jelasnya, hasil pemantauan yang dibuat KPDNHEP, pembungkusannya minyak masak dari kilang adalah dari sumber tangki dan corong yang sama, sebelum dimasukkan ke dalam botol dan plastik.
"Jenama yang dicetak di atas polibeg itu juga hanyalah bertujuan pengecaman jika terdapat penyelewengan dari kilang. Tiada promosi dan kos pemasaran yang terlibat bagi minyak masak bersubsidi ini," ujarnya.