Negara 'tenat' dalam segala aspek: Fuziah

Iklan
Fuziah ketika menggulung sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.

SHAH ALAM - Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta untuk meletakkan keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti itu menyelesaikan isu penjajaran politik supaya dapat mencari jalan terbaik menyelamatkan negara.

Ketuanya, Fuziah Salleh berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan kepimpinan dapat mencari jalan keluar terbaik kepada kemelut yang sedang melanda negara ketika ini.

Iklan
Iklan

Ini kerana dakwanya, Malaysia ketika ini berada dalam keadaan 'tenat' dalam segala aspek.

"Kita tahu negara kita ini berada dalam keadaan tenat. Tidak perlu saya ulang lagi kerana semua pembahas telah cukup (dalam sesi perbahasan) apa keadaan dalam negara yang mencerminkan bahawa negara kita ini cukup tenat dalam segala aspek.

Iklan

"Kalau kita hendak kata dalam sudut ekonominya tenat, pendidikan yang mana kita tahu ramai generasi yang hilang, dari segi psikososial dan sebagainya.

"Kita juga tahu bahawa kita sebagai satu parti yang mampu membawa negara ini keluar daripada kemelut tersebut," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan lain Fuziah turut mengulangi kesediaan Wanita PKR untuk memenangi 20 kerusi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Tambah beliau, ketika ini pihaknya sedang mempersiapkan sembilan lagi calon ahli Parlimen wanita daripada parti itu bagi melengkapkan sasaran tersebut.

Selain itu, dalam kongres yang julung kali diadakan secara maya itu, Wanita PKR turut meluluskan usul supaya lebih ramai dalam kalangan mereka menjadi perwakilan yang bermakna di semua peringkat.