Pasar Awam Chai Leng Park diarah tutup, 11 peniaga positif

Iklan
Sebanyak 11 kes positif melibatkan peniaga di Pasar Awam Chai Leng Park dilaporkan.

BUTTERWORTH - Pasar Awam Chai Leng Park diarahkan tutup segera selepas 11 kes positif Covid-19 dilaporkan membabitkan peniaga di situ.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel berkata, penutupan pasar tersebut bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dan tindakan lain yang perlu dijalankan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perintah penutupan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut Sub-Seksyen 18 (1) (f) Akta Tindakan dan Kawalan Pencegahan Penyakit 1988 berkuatkuasa hari ini.

Katanya, tempoh penutupan pasar itu belum ditentukan sehingga diberitahu oleh MBSP kelak.

Iklan

"Pasar tersebut mempunyai 260 peniaga, 150 adalah peniaga dalam pasar manakala selebihnya merupakan penjaja pasar pagi. Kesemua peniaga tersebut termasuk peniaga kedai makanan di pasar itu.

"Semua peniaga akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM. Kita juga memohon pelanggan yang mengunjungi pasar ini sejak 18 Jun (Jumaat) sehingga hari ini untuk melakukan perkara sama," katanya ketika mengunjungi pasar tersebut pada tengah hari Ahad.

Iklan

Tambahnya, dalam tempoh penutupan itu, kakitangan KKM akan melakukan pemeriksaan lanjut sementara MBSP akan membantu memantau keadaan di lapangan.

"Ini adalah julung-julung kali pasar ini dilaporkan mempunyai kes positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu. Kita telah mengambil tindakan yang sewajarnya sejak setahun lalu untuk mengelakkan penularan Covid-19.

"Bagaimanapun, agak mengecewakan akhirnya pasar ini perlu ditutup akibat Covid-19. Kita akan patuhi arahan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya.

Sebelum ini, Pasar Awam Jalan Perak turut diarahkan tutup selepas peniaga di situ dilaporkan positif Covid-19, namun dibenarkan beroperasi semula pada Jumaat lalu.

Selain pasar itu, Pasar Jelutong dan Pasar Bukit Mertajam juga diarahkan tutup selepas kes positif dalam kalangan peniaga dilaporkan.

Notis penutupan Pasar Awam Chai Leng Park berkuatkuasa Ahad.