MELAKA - Pembukaan Parlimen tidak perlu didesak dan tergesa kerana bimbang menjadi medan ketidakstabilan politik.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ketika kerajaan sedang membuat persediaan pembukaan Parlimen, tidak perlu ada pihak merancang agenda tersirat dan tersurat sama ada pembangkang atau dalam kerajaan.
Menurutnya, untuk melaksanakan pembukaan Parlimen secara maya atau separa maya beberapa perkara perlu diambil kira termasuk membabitkan akta serta peraturan.
"Pemimpin politik juga menjujung hasrat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah yang bertitah semua pihak menghentikan pergolakan dan usaha boleh mengganggu kestabilan politik negara.
"Jadi sebarang usaha untuk mengumpulkan tanda tangan, akuan bersumpah (SD) untuk menukar kerajaan ketika ini tidak seharusnya menjadi keutamaan ahli politik," katanya di sini, pada Ahad.
Mohd Rafiq sebelum itu mengagihkan kotak makanan tengah hari kepada penduduk di Taman Krubong Jaya dan anggota barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.
Beliau juga berpendapat, pembangkang juga boleh memberi cadangan yang berkesan bukan sahaja melalui
Parlimen tetapi menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri atau berkomunikasi melalui 'Video Conference' untuk membawa suara rakyat.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, berkata, Pemuda UMNO juga seharusnya percaya kepada kredibiliti wakil mereka dalam kerajaan untuk menyampaikan hasrat sayap parti itu.
"Adakah mereka tidak yakin dengan wakil mereka, jadi boleh menggunakan pelbagai platform kerana wakil mereka sentiasa berhubung dengan PM seperti mesyuarat kabinet setiap minggu," katanya.
Mohd Rafiq sebelum itu turut memaklumkan Parlimen Tangga Batu menjadi perintis Program Lunch Box yang memperuntukan sebanyak 8,000 kotak makanan sebulan untuk golongan B4 dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.