SHAH ALAM - Kesediaan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk menerima graduan bukan pendidikan mengisi jawatan DG41 itu dilihat sangat mengecewakan.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, meskipun niat dan usaha KPM baik untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru, malangnya strategi yang digunakan itu tidak sesuai dan akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti keguruan.
Menurut beliau, kualiti pendidikan akan terjejas apabila graduan bukan ijazah pendidikan mula mengajar tanpa kemahiran pedagogi dan lambakan graduan pendidikan yang lebih serius pada masa hadapan.
"Sepatutnya hanya graduan bidang pendidikan sahaja layak memohon dan diterima untuk mengisi 18,702 jawatan baru one-off itu.
"Analoginya, bolehkah kita mengambil graduan bidang lain untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera? Mengapa dalam profesion keguruan ini dibenarkan?
"Bukankah ini satu tindakan yang tidak profesional dan akan menjejaskan kualiti keguruan negara? Apakah ibu bapa bersedia anak-anak mereka diajar oleh seorang guru yang tiada langsung latar belakang pendidikan?," soalnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujar beliau, situasi tersebut sudah seperti tahap kelas tuisyen swasta dan bukan lagi menggambarkan sebuah institusi sekolah kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: KPM buka pengambilan khas 18,702 guru gred DG41
Tambahnya, tindakan KPM itu turut akan merosakkan kualiti pendidikan di Malaysia apabila membenarkan graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan guru secara one-off.
"Pengambilan secara one-off ini akan merencatkan perancangan unjuran program pengajian pendidikan di universiti awam (UA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
"Apabila pengisian jawatan baru berlaku secara one-off, keperluan guru untuk masa terdekat akan mengecil kerana perjawatan telah diisi penuh.
"Apa kesudahannya kepada graduan pendidikan yang akan tamat belajar nanti? Mereka telah dilatih spesifik untuk keguruan, mereka tentunya tidak kemahiran dalam bidang yang lain," katanya.
Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, beliau berpendapat, KPM perlu mengarahkan IPG dan semua Fakulti Pendidikan UA untuk segera membuat pengambilan lebih ramai pelajar pendidikan secara one- off bagi mata pelajaran yang kekurangan guru.
"Misalnya, jika mata pelajaran Bahasa Melayu kekurangan guru,KPM arahkan IPG Pendidikan Bahasa Melayu dan UA yang mempunyai program Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu membuat pengambilan yang lebih ramai secara one off untuk mengisi kekurangan tersebut.
"IPG dan UA boleh melantik pensyarah kontrak untuk melatih lebih ramai guru yang diperlukan.
"Selain itu, KPM sepatutnya mewujudkan sistem dashboard data berkaitan sistem pendidikan negara termasuklah kekosongan guru terkini setiap daerah," katanya.