SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan aliran trafik di laluan persimpangan Kota Damansara yang terlibat dalam insiden runtuhan perancah besi pada Sabtu tidak mengalami sebarang gangguan hasil kerjasama pantas semua pihak.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, kerjasama erat dan tindakan pantas semua pihak berjaya memastikan kawasan kejadian kini dalam keadaan terkawal bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan yang dijadualkan bermula pada Ahad.
"Aliran trafik di KM19.8 – KM 19.2 di kedua-dua arah kembali lancar dalam tempoh 12 jam sejak kejadian semalam, namun PLUS akan terus memantau kerja-kerja pembersihan tapak tersebut dan memastikan tahap keselamatan semua pihak tidak dikompromi.
"Satu notis berhenti kerja telah dikeluarkan kepada pengurusan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) atau Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) bagi memastikan kawasan ini bebas dari sebarang serpihan yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memaklumkan mengenai kejadian perancah besi runtuh di kawasan terbabit pada jam 7.14 petang.
Norazam berkata, dua warga Bangladesh yang sedang bekerja di bawah tapak pembinaan setinggi 12 meter itu mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan runtuhan tersebut dan operasi pasukan bomba telah tamat pada jam 7.34 petang.
Susulan itu, PLUS telah menutup dua lorong di laluan menghala ke Damansara yang terlibat dengan insiden runtuhan perancah besi itu.
PLUS berkata, laluan yang ditutup ialah lorong kanan dan tengah laluan dari Kilometer (KM)19.8 – KM 19.2 arah utara dan KM 19.8 – KM19.2 arah selatan.
Tambah PLUS lagi, penutupan tersebut dilakukan bagi memudahkan kerja pengalihan runtuhan di tapak pembinaan yang terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: Perancah besi lebuh raya runtuh, dua cedera
Perancah besi runtuh: Kerja pembinaan diarah henti serta-merta