KEPALA BATAS - Polis membuka kertas siasatan berhubung satu video yang tular di aplikasi TikTok dan Facebook berhubung sekumpulan individu yang menyertai perarakan mengusung mayat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis turut mengesan sekumpulan individu yang menyertai perarakan itu selepas menerima laporan berhubung perkara itu.
Menurutnya, siasatan awal terhadap video tersebut mendapati, kumpulan lelaki tersebut dipercayai telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' sedang dilaksanakan.
"Daripada video tersebut, kita mendapati sekumpulan lelaki berjalan secara berkumpulan dan menari dalam perarakan mayat di Jalan Siram, Butterworth.
"Kejadian dipercayai berlaku pada 17 Jun lalu. Bagaimanapun, video tersebut baru tular pada hari ini.
"Oleh itu, kita mula menjalankan siasatan berhubung tindakan kumpulan lelaki tersebut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Noorzainy berkata, polis sudah memperoleh butiran mayat tersebut dan giat mengesan sekumpulan lelaki yang menyertai perarakan itu.
"Mereka terdiri daripada 15 hingga 20 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an. Kita sudah kenal pasti mereka dan usaha mengesan sedang dijalankan.
"Siasatan awal mendapati mayat tersebut dibawa dari Teluk Air Tawar ke tempat pembakaran di Jalan Siram dengan menaiki kenderaan khas membawa mayat.
"Bagaimanapun, ketika kira-kira 50 meter hendak sampai ke tempat pembakaran, kumpulan itu bertindak membawa mayat tersebut sambil berarak sehingga ke tempat pembakaran," katanya.
Katanya, polis juga akan memanggil pengurusan pengebumian untuk dirakam keterangan.
"Saya minta mereka yang terlibat dengan perarakan itu agar tampil untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.
Terdahulu, video berdurasi 56 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang menari dan berarak dengan membawa mayat tular di aplikasi Tik Tok dan Facebook.
Dipercayai, video tersebut dirakam salah seorang daripada kumpulan itu sebelum memuat naik ke media sosial.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi dan komen daripada warganet yang tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan lelaki itu berikutan negara sedang melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh kerana wabak Covid-19.