PENGENDALI Perancis Didier Deschamps tetap gembira biarpun skuad kendaliannya diikat 1-1 ketika berdepan Hungary pada aksi Kumpulan F Euro 2020 di Puskas Arena kelmarin.
Menurut Deschamps, dia berpuas hati dengan keputusan berkenaan biarpun sedar skuad Les Bleus itu perlu membuat perhitungan terakhir berdepan Portugal pada 24 Jun nanti untuk layak ke pusingan kalah mati.
"Saya berpuas hati. Walaupun tidak gembira dengan keputusan yang diraih pasukan. Kami mempunyai banyak peluang gol, samada yang tepat ke sasaran atau sekadar menggegar palang dan tiang gol.
"Kami tidak tewas dan keputusan ini telah membuka peluang kepada semua pasukan dalam kumpulan ini untuk beraksi sebaik mungkin pada perlawanan ketiga masing-masing bagi mengesahkan slot ke pusingan kalah mati nanti,” katanya.
Pada perlawanan itu, Perancis dilihat mendominasi perlawanan sejak wisel permulaan, namun Hungary yang berjaya membuka jaringan menerusi Attila Fiola pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Tersentak dengan gol itu, Perancis dilihat semakin menggandakan asakan pada separuh masa kedua dan akhirnya menyaksikan penyerang, Antoinne Griezmann berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-66.
Sementara itu, Deschamps menyifatkan faktor cuaca panas ketika aksi berkenaan berlangsung juga dilihat menjadi faktor kepada keputusan tersebut.
"Perlawanan ini berlangsung pada waktu tengahari dan ia nyata memberikan kesan kepada kami dan juga pihak lawan kerana beraksi di bawah cuaca panas yang dianggarkan pada 35 atau 36 darjah celcius telah membuatkan pemain meminta untuk masa rehat (minum) setiap lima minit.
"Apa pun, diharapkan kami dapat beraksi dengan baik ketika berdepan Portugal nanti,” katanya.