Usaha sukar bersih sisa runtuhan di Gaza

Iklan
Proses pembersihan sisa runtuhan itu turut berdepan kesukaran akibat kekurangan jentera dan peralatan. - Foto: Agensi

GENTING GAZA - Lebih sebulan selepas kempen pengeboman sengit rejim Zionis berakhir di Genting Gaza, penduduk kini berusaha untuk membina semula wilayah itu yang berdepan kemusnahan besar.

Operasi ketenteraan selama 11 hari itu telah meragut 256 nyawa penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak selain memusnahkan sebahagian besar struktur awam.

Iklan
Iklan

Menurut Kementerian Kerja Awam dan Perumahan di Gaza, kira-kira 2,000 kediaman penduduk musnah manakala 22,000 unit separa musnah yang menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah.

Selain itu, kira-kira empat bangunan, 74 struktur awam termasuk kemudahan kementerian menjadi sasaran bedilan tentera Israel.

Iklan

"Kami percaya jumlah itu akan meningkat memandangkan pasukan kami sedang membuat penilaian secara berperingkat. Setakat ini, nilai kemusnahan akibat serangan itu adalah berjumlah AS$500 juta (RM2.1 bilion),” kata Setiausaha Kedua kementerian itu, Naji Sarhan.

Jelasnya, dianggarkan terdapat 200,000-300,000 tan sisa runtuhan yang perlu dibersihkan.

Iklan

"Langkah pemulihan pertama adalah membersihkan sisa runtuhan terutamanya di kawasan penempatan penduduk yang musnah sebagai persediaan untuk projek pembinaan semula,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, usaha itu mungkin sukar akibat kepungan haram Israel ke atas Genting Gaza yang berlarutan selama 14 tahun.

Sehingga kini, rejim Tel Aviv tidak membenarkan sebarang penghantaran bekalan peralatan pembinaan melalui lintasan sempadan sewenang-wenangnya yang membantutkan usaha membina semula wilayah tersebut.

Segalanya musnah

Jurutera Palestin, Ayman Talat Mushtaha, 52, hanya mampu memandang kosong sisa runtuhan bangunan Kuhail setinggi enam tingkat yang menempatkan pejabat dan pusat pengajian yang sebahagiannya bergabung dengan Universiti Islam Gaza yang dibedil pada 18 Mei lalu.

"Pada mulanya, kami berharap dapat menemui peralatan yang mungkin masih elok. Namun, semuanya musnah. Pusat ini adalah punca pendapatan kami. Saya mempunyai tujuh kakitangan tetap sebelum ini.

"Kini, mereka sudah hilang pekerjaan. Bukan mudah untuk menyewa tempat lain kerana kami telah menghabiskan masa selama 10 tahun untuk menubuhkan pusat tersebut. Tetapi, kami berharap pusat berkenaan dapat dibuka semula jika pembinaan semula itu dapat dilakukan,” katanya yang juga pemilik pusat pendidikan digelar Mahara yang menawarkan pengajian diploma vokasional.

Sebahagian logam yang dikumpulkan untuk diperiksa jika boleh digunakan semula. - Foto: Agensi

Sementara itu, kontraktor dan penyelia kira-kira 30 pekerja yang terlibat usaha pembersihan sisa runtuhan banguna Kuhail, Mousa Mohammed menjelaskan mereka mengambil tempoh antara 10 dan 20 hari untuk proses tersebut.

"Ia bergantung kepada saiz struktur yang runtuh. Kami mengambil tempoh agak lama memandangkan Genting Gaza kekurangan peralatan. Kepungan haram Israel menyebabkan mesin pengorek dan jentolak terpaksa disewa pada harga sangat tinggi serta perlu menanggung sendiri kos itu. Kami jarang memperoleh keuntungan daripada projek seumpama ini,” menurutnya.

Mohammed juga tidak menjangkakan bekalan peralatan pembinaan akan dapat memasuki Genting Gaza dalam tempoh terdekat memandangkan struktur yang musnah ketika operasi ketenteraan dilancarkan rejim Zionis pada 2008-09 dan 2014 masih belum dibina semula sehingga kini.

"Kami bukan hanya berdepan sengsara ketika dihujani bom dan peluru tentera Israel. Komuniti antarabangsa yang menzahirkan solidariti dengan kami perlu tahu kami juga menanggung derita selepas konflik itu reda,” jelasnya.

Selama dua minggu, pasukannya berusaha membersihkan sisa runtuhan dan mengumpulkan logam yang mungkin boleh digunakan semula selain mengasingkan batu daripada konkrit yang akan diproses semula untuk menghasilkan batu kelikir.

Pemilik kuari batu di timur Bandar Gaza, Ammar Yousef berkata, sekatan dikenakan Israel menyebabkan mereka terpaksa mengambil inisiatif sendiri.

"Kebanyakan sisa runtuhan dikitar semula untuk menghasilkan batu kelikir. Kualitinya agak rendah dan hanya digunakan untuk membina tembok dan jalan-jalan baharu,” jelasnya sambil menambah satu tan batu kerikil dari Israel berharga AS$34 (RM141) manakala yang dikitar semula hanya AS$15(RM62).

Bekalan terhad

Pembukaan dan penutupan lintasan komersial Karam Abu Salem atau Kerem Shalom yang menghubungkan Genting Gaza sebenarnya bergantung kepada iklim dan keadaan politik.

Selepas berdepan desakan banyak pihak, lintasan itu dibuka separa untuk akses kepada penghantaran bahan bakar dan bekalan makanan.

"Israel melarang kemasukan paip, simen, cat, keluli dan besi yang didakwa kononnya boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan. Satu-satunya jalan untuk bekalan peralatan pembinaan memasuki Gaza adalah melalui lintasan sempadan Rafah di Mesir,” ujar Sarhan.

Beberapa pekerja sedang mengumpulkan logam yang mungkin boleh digunakan semula. - Foto: Agensi

Pada 4 Jun lalu, puluhan jentolak, trak dan kren bersama konvoi jurutera memasuki Rafah dari Kaherah bertujuan untuk kerja pembersihan serta menilai kemusnahan dan membuat rangka tindakan bagi pembinaan unit penempatan dalam kelompok 500 atau 1,000 orang setelah Mesir berjanji menyalurkan dana bantuan memulihkan Gaza berjumlah AS$500 juta (RM2.1 bilion).

Dianggarkan, Genting Gaza memerlukan AS$3 bilion (RM12.4 bilion) untuk pembinaan semula wilayah itu termasuk memulihkan ekonomi yang terjejas akibat sekatan Israel.

‘Kadar pengangguran adalah lebih 50 peratus dan dalam kalangan siswazah adalah lebih 70 peratus selain sektor perindustrian dan pertanian sedang goyah,” kata Sarhan lagi.

Pemilik salah sebuah pusat pengajian di bangunan Kuhail, Mushtaha bagaimanapun tetap optimis.

"Saya berharap usaha membina semula Gaza dapat direalisasikan dengan usaha dan dana yang dijanjikan negara Arab,” katanya. - Agensi