i-Sinar 2.0 relevan atau retorik?

Iklan
KWSP telah mengeluarkan hampir RM78.8 bilion pada pusingan pertama i-Sinar dan i-Lestari, adakah institusi itu mampu bertahan jika carumannya terus ‘digali’ buat kali kedua.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 'total lockdown' membuatkan lebih ramai rakyat mengeluh dengan kesempitan hidup dan kegawatan ekonomi ketika ini. Ramai rakyat yang dipotong gaji, dibuang kerja, masih menganggur malah hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Pelaksanaan program i-Lestari yang telah membuka permohonan pengeluaran mulai 1 April tahun lepas dan i-Sinar pada November lalu telah membuka harapan baru untuk rakyat demi kelangsungan hidup terutamanya buat pencarum ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Iklan
Iklan

Lebih menggembirakan apabila i-Sinar dibuka kepada seluruh pencarum tanpa syarat mulai Mac 2021 kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1, KWSP.

Namun, permohonan i-Lestari telah tamat pada 31 Mac yang lalu begitu juga i-Sinar pada akhir Jun ini. Jadi bagaimanakah nasib rakyat terutamanya golongan B40? Adakah simpanan mereka masih mencukupi atau sudah habis dikeluarkan?

Iklan

Oleh itu, terdapat gesaan agar kerajaan membenarkan pencarum untuk mengeluarkan i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 bagi membantu rakyat yang kesempitan hidup terutamanya ketika total lockdown sedang dijalankan pada masa ini.

Persoalannya di sini, adakah KWSP masih mampu untuk terus 'mengorek' keluar duit simpanan pencarumnya buat kali kedua selepas pengeluaran kali pertama sahaja sudah berjumlah RM78.8 bilion.

Iklan

Apakah impak kewangan terhadap institusi itu? Dan adakah gesaan terbaru ini hanya sekadar cadangan popular orang politik dalam meraih sokongan orang ramai.

KWSP masih mampu

Bagaimanapun, pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat, KWSP masih mampu untuk mengeluarkan simpanannya sekali lagi tetapi haruslah dengan matlamat yang tepat bagi membantu golongan benar-benar memerlukan.

"Saya rasa KWSP masih mampu melaksanakan i-Sinar 2.0 serta i-Lestari 2.0 dan mereka boleh menjayakan pelaburan walaupun harga saham agak rendah ketika ini.

"Namun, kita harus meneliti juga kerana kebanyakan golongan B40 sudah mengeluarkan hampir kesemua simpanan dan baki caruman kebanyakan mereka kurang daripada RM1,000.

"Oleh itu, matlamat kena tepat kerana kemungkinan besar jika dibuka, ia lebih memberi manfaat kepada golongan M40 dan T20 sahaja berbanding B40 yang lebih memerlukan mengikut baki pinjaman yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, menerusi hantaran Facebook, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah aset terkumpul KWSP telah jatuh sedikit kepada RM982 bilion pada akhir suku pertama 2021 daripada RM998 bilion pada akhir tahun 2020. Bagaimanapun, ia masih lebih tinggi berbanding RM925 bilion pada tahun 2019 sebelum pandemik.

Penurunan RM16 bilion atau 1.6 peratus daripada RM998 bilion itu adalah akibat pengeluaran RM78.8 bilion melalui skim i-Sinar dan i-Lestari sahaja.

Barjoyai menambah, jumlah aset KWSP masih kukuh dan tinggi, selain pelaksanaan i-Sinar dan i-Lestari dilihat dapat membantu rakyat untuk jangka masa pendek.

"KWSP sudah mengeluarkan lebih RM78 bilion daripada pendeposit di bawah i-Sinar, namun ia masih menunjukkan prestasi keuntungan yang baik.

"Hampir RM1 trilion jumlah pelaburan KWSP dan 40 peratus daripada jumlah itu adalah pendapatan tetap yang boleh dicarumkan pada bila-bila masa tanpa rugi.

"Ia dilihat dapat membantu dalam jangka masa pendek di mana penyimpan yang masih ada baki akan berpendapat bahawa ini merupakan satu peluang,” katanya.

Tambahnya, pengeluaran yang dibuat secara one-off maksimum RM10,000 untuk semua ahli pasti mempunyai kesan positif untuk membantu ekonomi yang dikenali sebagai kesan pengganda.

"Apa yang dikeluarkan melalui KWSP itu akan dibelanjakan oleh pengguna-pengguna dan itu akan mewujudkan kesan pengganda yang merangsang ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bantuan i-Sinar dan i-Lestari ini bukanlah bantuan yang begitu tepat kerana ia mengambil duit daripada simpanan rakyat sendiri yang akan menjejaskan masa depan kerana ia digunakan untuk menyelesaikan masalah pada ketika ini.

"Bantuan itu tidak sepatutnya datang daripada KWSP kerana caruman itu sepatutnya menjadi simpanan masa hadapan.

"Kalau nak selesai masalah, kita kena cari penyelesaian lain yang betul-betul unggul dan tepat. Jika i-Sinar masih diteruskan, ia mestilah bersasar bagi orang yang betul-betul memerlukan bersama matlamat seperti memulakan perniagaan,” katanya lagi.

Bantuan kerajaan

Turut menyokong pendapat beliau, Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang menjelaskan, isu terbesar ketika ini bukanlah pembukaan i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 tetapi sama ada akaun KWSP golongan B40 masih mencukupi atau tidak.

"Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, sebelum ini berkata, 30 peratus daripada pemegang akaun ini hanya ada RM100 di dalam Akaun 1 mereka. Jadi, mengikut situasi ini, saya rasa tidak ada keperluan untuk membangkitkan isu sama ada perlunya i-Sinar 2.0 atau tidak.

"Lebih baik jika diberi penekanan kepada mereka yang terkesan teruk dengan pelaksanaan PKP 3.0 yang kebanyakannya tidak boleh bekerja.

"Bantuan secara langsung daripada kerajaan pusat perlu diberikan tidak termasuk pinjaman moratorium kepada mereka,” katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa perkara utama yang harus diberi perhatian oleh kerajaan adalah pembukaan semula ekonomi pada akhir bulan ini supaya peniaga boleh membuka perniagaan semula.

"Demi mencapai matlamat ini, kerajaan perlu melaksanakan pelan yang komprehensif untuk mengawal Covid-19.

"Buat masa ini, progres pemulihan masih belum dilihat. Tanpa pelan menyeluruh, ada kemungkinan PKP 4.0 diperlukan dan jika ini berlaku, apa-apa bantuan yang kerajaan mampu beri pun tidak akan mencukupi,” katanya.