LINDUNGI Diri, Lindung Semua ialah tema utama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menekankan bahawa perlindungan ke atas rakyat Malaysia hanya akan dapat dicapai jika kita dapat memvaksin seberapa ramai penduduk yang layak.
Apabila setiap individu mengambil vaksin, mereka melindungi orang di sekeliling kerana sekiranya dijangkiti virus Covid-19 sekali pun, kuantiti virus dalam badan pembawa adalah sedikit sekali gus menyebabkan kadar kebolehjangkitan atau R naught (Rt) rendah.
Melindungi orang yang tersayang bermula dengan anda menerusi vaksinasi. Apabila sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus populasi telah divaksinasi, kita akan dilindungi secara keseluruhan. Tidak ada antara kita yang selamat sehingga semuanya selamat.
Dengan vaksinasi, seseorang mempersiapkan tubuhnya dengan ‘askar’ atau antibodi bagi melawan ‘musuh’ iaitu kuman atau penyakit. Vaksin Covid-19 memastikan penghasilan antibodi badan lebih awal bagi melawan virus tersebut.
Tanpa vaksinasi, kita seolah-olah baru mahu melatih ‘askar’ kita untuk berperang apabila ‘musuh’ telah menyerang. Ini sudah terlambat kerana tubuh kita mungkin terpaksa berdepan dengan kesan teruk akibat jangkitan virus Covid-19 ini. Kita boleh lihat di negara-negara maju yang mempunyai kadar vaksinasi Covid-19 yang tinggi, kes semakin menurun.
Alhamdulillah, semakin ramai rakyat kita sedar dan kadar yang mendaftar juga semakin tinggi. Ramai yang masih tertunggu-tunggu giliran untuk divaksin.
Kajian klinikal secara jelas menunjukkan vaksin Covid-19 mampu menguatkan antibodi badan sekali gus menurunkan kadar jangkitan dalam masyarakat.
Apabila pandemik ini berlarutan lebih dari setahun, ramai yang terjejas sehingga kehilangan pekerjaan, kehilangan mata pencarian, serta hilang segala-galanya.
Ada yang mengambil tindakan nekad seperti membunuh diri. Di Jepun sebagai contoh, meski pun penyebaran wabak Covid-19 tidak seteruk negara lain, krisis kesihatan ini tetap memberi kesan buruk, iaitu peningkatan kes bunuh diri.
Jumlah kes bunuh diri di Jepun meningkat buat pertama kalinya dalam tempoh lebih sedekad pada tahun lalu. Data awal Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun mendedahkan seramai 20,919 orang mati kerana membunuh diri, kenaikan 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Di Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan peningkatan kes rasuah berskala besar membabitkan sindiket jenayah dan kartel serta penjawat awam sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu.
Peningkatan ini dipercayai kesan kegawatan ekonomi akibat pandemik ini yang menyebabkan semakin ramai individu berada dalam keadaan terdesak.
Selain itu, kes keganasan rumah tangga dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak juga meningkat seperti yang dilaporkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, bulan lepas. Isu kewangan, masalah dadah dan tekanan perasaan dipercayai sebagai punca utama peningkatan ini.
Ternyata, selain daripada vaksin Covid-19, vaksin rohani juga sangat penting dan perlu dalam mengharungi situasi yang mencabar kini.
Daripada Qutaibah bin Malik RA,"Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca doa: Ya ALLAH, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang mungkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat.” (Riwayat Tirmidzi, no 3591)
Selain mengharapkan kes jangkitan Covid-19 akan terus menurun dengan program vaksinasi yang sedang giat dijalankan, diharapkan juga agar kita semua menggunakan ruang yang ada menyuntik vaksin rohani ke dalam diri masing-masing dengan memperbanyakkan amalan membaca al-Quran serta ibadah yang lain.
Semoga kita dapat mengambil iktibar yang banyak daripada kehadiran virus ini dan terus berusaha menjadi hamba ALLAH yang lebih baik.
* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia