KUALA LUMPUR - Pas hari ini tampil dengan teori bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya 'orang di belakang tabir' yang mahu membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen.
Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini berdasarkan reaksi Anwar yang marah ketika isu undi tidak percaya ditimbulkan oleh Pas.
"Pas tidak mendapat apa-apa faedah jika berlaku undi tidak percaya, yang paling mendapat faedah ialah Anwar. Jika kita lihat reaksi pertama beliau ketika mula kecoh isu ini, beliau memang marah dan tidak sangka tindakan beliau di belakang tabir dihidu Pas.
"Semua orang tahu Anwar idamkan jawatan Perdana Menteri, begitu juga semua orang tahu bagaimana DAP tidak percaya kepada Dr Mahathir," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Kenyataan Muhammad Khalil itu sebagai membalas dakwaan Anwar semalam yang mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.
ARTIKEL BERKAITAN: Undi tak percaya kehendak Hadi, kata Anwar
Menurut Muhammad Khalil, sejarah lalu telah membuktikan Anwar pernah menjadi 'arkitek' di sebalik kisah mahu menumbangkan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008.
"Bagaimana kisah 40 Ahli Parlimen BN diterbangkan ke Taiwan untuk berbuat belot terhadap Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dengan notis undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
"Ramai yang tidak tahu di sebalik semua itu siapa arkitek di belakangnya atau ramai juga yang tahu tetapi tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Pas sekarang.
"Anwar ialah arkiteknya dan orang yang bertanggungjawab terhadap cubaan tersebut yang pada mulanya dinafikan bermati-matian oleh beliau. Namun semuanya terbongkar adalah benar ketika perbicaraan saman beliau terhadap Khairy Jamaluddin pada 2017," kata beliau.
Bagaimanapun, katanya, cubaan Anwar pada 2008 terhalang apabila Speaker Dewan Rakyat menolak usul tersebut.
"Namun dengan Nga Kor Meng dari DAP menjadi Speaker Dewan Rakyat kali ini, usul tersebut akan mendapat laluan mudah jika diangkat," katanya.
Dakwanya lagi, PKR dan DAP sudah lama mengidam menjadi kerajaan dan hanya mempergunakan Dr Mahathir untuk memperoleh kemenangan pada PRU14.
"Setelah berjaya, kini sokongan terhadap Dr Mahathir bertambah kuat serta beliau seperti mahu kekal sebagai Perdana Menteri meresahkan PKR, DAP dan Amanah. Sebelum keadaan bertambah parah, membantutkan cita-cita dan agenda Malaysia Baharu, mereka perlu kembali kepada rancangan asal, hanya menggunakan Dr Mahathir untuk memenangi PRU 14.
"Dr Mahahtir perlu ditumbangkan atau dikeluarkan dari kerajaan dan PH. Cara paling efektif, usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat kerana mereka merasakan memperolehi sokongan majoriti dan Anwar berpengalaman membuat 'manouver' sedemikian," katanya.